Khamis, 22 Februari 2018 | 6:17am
Ilmu mampu melahirkan adab yang baik kerana ketiadaan ilmu akan merosakkan peribadi Muslim. - Gambar hiasan

Adab, akhlak perlu dipupuk sejak kecil

Adab wajar dibentuk sejak usia muda daripada adab keluar masuk bilik ibu bapa hinggalah adab keluar masuk kumpulan dalam media sosial. Ikuti bicara Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati yang ke udara di IKIMfm yang memperincikan pelbagai adab untuk menjadi manusia yang lebih baik

Islam menjadi indah dan cantik bukan hanya kerana kekuatan ilmu tetapi juga adab baik yang ditampilkan oleh golongan muda. Sekiranya akhlak dan adab yang teladannya datang daripada Rasulullah SAW itu, tidak dibentuk sejak usia muda lagi, dibimbangi akhlak dan serta tingkah laku mereka akan menjadi buruk apabila sudah dewasa.

Adalah penting jika ilmu mampu melahirkan adab yang baik kerana ketiadaannya akan merosakkan peribadi Muslim sehingga tidak hairan kita menyaksikan ramai kalangan masyarakat yang berilmu tetapi hilang adab meskipun dalam soal seperti makan dan minum, memberi salam dan meminta izin.

Meminta izin dalam konteks pergaulan manusia perlu dididik sejak awal usia lagi. Contohnya adab bagi seorang anak untuk meminta izin kedua ibu bapa sebelum masuk ke dalam bilik kerana ada waktu tertentu dilarang berbuat demikian.

Hal ini berpandukan Surah An-Nur, ayat 58-59: "Wahai orang yang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum solat Subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan selepas solat Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah selain daripada tiga masa terbabit, (kerana mereka) orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang (yang cukup umur) yang disebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."

Sebenarnya, adab sewaktu duduk dalam majlis juga membabitkan perhubungan dalam media sosial seperti WhatsApp sehingga memerlukan setiap ahli mempunyai akhlak dalam komunikasi. Sekiranya kita mahu menjemput seseorang menjadi ahli dalam sesuatu kumpulan, kita memerlukan keizinan setiap ahli yang ada, manakala apabila bercadang meninggalkan kumpulan, kita juga perlu berbuat demikian.

Beri salam

Ketika menghadiri sesuatu majlis sewajarnya memberi salam dan memperkenalkan diri kepada ahli dalam majlis itu. Rasulullah SAW memberi panduan, ketika dua orang Muslim berjumpa, masing-masing menghulurkan salam dan mengucap alhamdulillah kerana dapat bertemu lalu memohon keampunan, maka Allah akan menggugurkan dosa mereka.

Apabila menghadiri sesuatu majlis, apabila ditunjukkan oleh tuan rumah untuk duduk di sesuatu tempat, maka duduklah di situ kerana mereka lebih mengetahui tempat yang sesuai untuk tetamunya. Duduklah berhampiran dengan ahli majlis dan elakkan duduk berjauhan di antara satu sama lain.

Selain itu minta izin untuk duduk dan berbual sekiranya terdapat sekumpulan atau dua orang sedang berbincang dalam majlis. Mereka yang sampai lewat perlu duduk di belakang majlis dan elakkan berbisik-bisik di antara satu sama lain. Sekiranya ingin keluar daripada majlis, harus minta izin terlebih dahulu dan berdoalah dengan doa kaffarah sebelum bersurai.

Antara adab yang wajar dibentuk golongan muda itu seperti yang dianjurkan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati yang ke udara di IKIMfm, ialah adab bercakap menggunakan bahasa yang baik.

Adalah digalakkan untuk bertutur menggunakan bahasa Arab yang fasih atau sekurang-kurangnya bahasa tempatan yang dikuasai dengan baik agar setiap percakapan dapat dilakukan dengan lancar dan tersusun serta mudah difahami oleh orang lain.

Latih diri untuk menyusun kata-kata tanpa paksaan kerana Rasulullah SAW tidak menyukai orang yang berpura-pura fasih bercakap seolah-olah perlakuan seekor lembu yang mengunyah-ngunyah lidahnya. Elakkan menggunakan bahasa yang tidak difahami seperti pesanan Rasulullah, "Kami golongan nabi diperintahkan oleh Allah untuk bercakap berdasarkan kadar pemikiran manusia."

Bimbang salah faham

Sekiranya tidak dapat difahami apa yang ingin disampaikan, berhentilah kerana dikhuatiri akan menimbulkan salah faham terhadap maksud sebenar sesuatu perkara. Pastikan ucapan tidak terlalu ringkas sehingga tidak tercapai maksudnya atau terlalu panjang sehingga membosankan mereka yang mendengarnya.

Ketika bergurau sekalipun terdapat adab yang perlu dijaga kerana di sebalik gurauan, ada kebaikan dan keburukannya. Gurauan akan mengeratkan perhubungan tetapi pada masa yang sama ia juga akan melukakan hati seseorang jika tidak kena caranya. Oleh itu berguraulah tanpa melewati batasan atau elakkan berlebih-lebihan.

Di dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad karangan Imam al-Bukhari, diriwayatkan daripada al-Baihaqi daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bukan dalam kalangan kita golongan yang suka mempermain-mainkan kita ataupun yang melalaikan dan keduanya tidaklah sebahagian daripada aku."

Perlakuan yang dilarang juga termasuklah gurauan dengan cara menyembunyi atau mengambil barang yang dimiliki oleh orang lain kerana ia akan mendatangkan kesusahan kepada pemiliknya sehingga tindakan ini tidak sekali-kali disukai oleh Baginda.

Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik Radio IKIMfm

Berita Harian X