Jumaat, 11 Ogos 2017 | 12:10am
REDZUAN (kiri) menerima tempat kedua menerusi karyanya, Penjaga Masjid Kerisik Di Patani. - Foto Shiraz Ali
REDZUAN (kiri) menerima tempat kedua menerusi karyanya, Penjaga Masjid Kerisik Di Patani. - Foto Shiraz Ali
PEMENANG hadiah saguhati, Mohd Ghazali Kori. - Foto Shiraz Ali
PEMENANG hadiah saguhati, Mohd Ghazali Kori. - Foto Shiraz Ali

Berdakwah guna gambar

SEKEPING foto pegun mungkin tidak boleh berkomunikasi untuk menyampaikan cerita, bagaimanapun kreativiti jurugambar bermain dengan lensa kamera berupaya menjadikannya satu mesej dakwah yang berkesan.

Merakam gambar bertema keislaman tidak hanya tertumpu kepada subjek tertentu seperti masjid dan hal berkaitan ibadat sebaliknya, banyak perspektif yang boleh diterokai untuk memperlihatkan nilai serta keindahan Islam.

Ini termasuk dengan mengupas aspek kebudayaan, amalan harian masyarakat dan merenung kejadian alam dari sudut pandang yang menyerlahkan nilai dalam agama Islam dalam gambar dihasilkan.

PAMERAN berlangsung sehingga 14 Oktober ini. - Foto Shiraz Ali
PAMERAN berlangsung sehingga 14 Oktober ini. - Foto Shiraz Ali

Apatah lagi dengan kepelbagaian budaya umat Islam di Asia Tenggara, memberi peluang kita mendokumentasikan visual yang bukan sahaja cantik, bahkan boleh dijadikan wadah untuk bermuhasabah diri dan mensyukuri nikmat Allah SWT.

Jurugambar profesional, Shuhada Hasim, dalam ceramah bertajuk 'Budaya dan Warisan Islam: Merakam Cerita Dan Kualiti Dalam Foto' berkata, bidang fotografi menyediakan laluan cukup besar untuk kerja dakwah digerakkan.

PEMENANG hadiah saguhati, Lee Shing Yaw. - Foto Shiraz Ali
PEMENANG hadiah saguhati, Lee Shing Yaw. - Foto Shiraz Ali

Jurugambar sebagai pendakwah

Beliau berkata, jurugambar yang sedar peranannya sebagai khalifah Allah SWT tidak akan merakam visual bertentangan dengan syariat Islam dan lebih bertanggungjawab terhadap setiap gambar yang dihasilkan.

"Setiap Muslim mempunyai peranan untuk melakukan dakwah kerana ia bukan tugas individu tertentu atau ahli agama semata-mata. Mungkin ada dalam kalangan kita tidak boleh membaca atau mendengar, tetapi dapat memahami sesuatu perkara dengan melihat.

PENGUNJUNG melihat karya yang dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
PENGUNJUNG melihat karya yang dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

"Foto adalah perantara paling mudah menyampaikan mesej, jadi mengapa tidak golongan jurugambar menggunakan peluang yang ada untuk menyebarkan kehebatan Islam," katanya pada majlis berlangsung di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, menggunakan kemahiran dimiliki, jurugambar mampu merakam objek atau subjek yang mungkin kelihatan biasa sahaja, tetapi apabila dihayati serta diberikan tafsiran ia berupaya membuatkan yang melihat menangis dan insaf dengan keagungan Allah SWT.

Mengupas lanjut, beliau berkata, gambar memiliki nilai Islamik tidak terhad kepada imej klise seperti lelaki berkopiah atau solat di masjid kerana ia boleh dipelbagaikan dengan mengabadikan keindahan destinasi pelancongan atau lokasi dikunjungi sebagai menghargai ciptaan alam.

RAHMAT menunjukkan karyanya berjudul Didiklah Dari Hati. - Foto Shiraz Ali
RAHMAT menunjukkan karyanya berjudul Didiklah Dari Hati. - Foto Shiraz Ali

Mesej dari gambar

Mengambil gambar kesengsaraan mereka yang tidak bernasib baik akan membuatkan kita lebih bersyukur dengan nikmat dikurniakan. Sementara itu, suasana sibuk saudara mara menolong semasa majlis kenduri mungkin tidak memberi sebarang makna kepada yang melihat.

Bagaimanapun menurut Shuhada, keterangan pada gambar dapat membantu menyingkap mesej di sebalik gambar, justeru, jurugambar perlu menulis keterangan gambar supaya mudah difahami dan tidak menimbulkan persepsi negatif atau salah faham kepada yang melihatnya.

PEMENANG tempat pertama, Mazlan Samion dengan karyanya berjudul Jalan Ke Syurga. - Foto Shiraz Ali
PEMENANG tempat pertama, Mazlan Samion dengan karyanya berjudul Jalan Ke Syurga. - Foto Shiraz Ali

Sesi ceramah menampilkan kolumnis majalah dan pensyarah itu, sempena pameran fotografi bertajuk 'Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara' yang menghimpunkan 50 foto terbaik jurugambar profesional dan amatur dari seluruh dunia.

Pameran yang julung kali dianjurkan MKIM itu bertujuan menggalakkan jurugambar terdiri daripada bakat tempatan dan luar negara seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina, Perancis, Jerman dan United Kingdom mendokumentasikan tarikan visual mengenai Islam di Asia Tenggara.

Pameran yang berlangsung sehingga 14 Oktober ini menjadi landasan kepada jurugambar menggali tema agama yang jarang ditampilkan dalam kebanyakan pertandingan fotografi, sekali gus menterjemah identiti dan nuansa umat Islam nusantara untuk dikongsi bersama masyarakat dunia.

Tiga hadiah utama pertandingan itu diungguli jurugambar tempatan iaitu tempat pertama, Mazlan Samion dengan karyanya berjudul Jalan Ke Syurga. Tempat kedua dimenangi Redzuan Bohari (Penjaga Masjid Kerisik Di Patani) dan ketiga, Rahmat Hidayat (Didiklah Dari Hati).

Pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 bagi pemenang tempat pertama, RM3,000 (kedua) dan RM 2,000 (ketiga).

KARYA Mazlan Samion yang berjudul Jalan Ke Syurga memenangi tempat pertama. - Foto Shiraz Ali
KARYA Mazlan Samion yang berjudul Jalan Ke Syurga memenangi tempat pertama. - Foto Shiraz Ali

Tuah foto spontan

Mazlan yang juga wartawan foto di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) berkata, foto seorang ibu yang sedang mengaji al-Quran bersama dua anak perempuan dengan lengkap bertelekung itu diambil secara spontan bersempena Nuzul Quran yang lalu.

"Foto isteri dan anak-anak itu saya ambil pada bulan Ramadan. Ideanya untuk menghasilkan gambar sempena Nuzul al-Quran dan saya cuba mencari sesuatu yang berbeza untuk ditampilkan.

Saya rakamkan reaksi spontan mereka dan rakan yang melihat mengakui ada magis pada gambar itu," katanya yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

KARYA Redzuan Bohari dengan judul Penjaga Masjid Kerisik Di Patani, meraih tempat kedua. - Foto Shiraz Ali
KARYA Redzuan Bohari dengan judul Penjaga Masjid Kerisik Di Patani, meraih tempat kedua. - Foto Shiraz Ali

Antara visual yang menarik perhatian pada pameran berkenaan ialah karya dihasilkan jurugambar berbangsa Cina, Lee Ying Shaw bertajuk Marilah Solat yang memaparkan remaja lelaki sedang berdoa dengan latar belakang seni bina indah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Beliau berkata, cabaran besar menghasilkan foto bertemakan Islam kerana kurangnya ilmu pengetahuan mengenainya dan untuk memastikan visual diambil selari imej agama Islam.

Foto jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Mohd Ghazali Kori, merakamkan ribuan jemaah wanita bertelekung daripada sisi belakang yang memenuhi perkarangan Pattani Central Mosque untuk menunaikan ibadat solat terawih.

Visual unik yang sukar dilihat di kebanyakan masjid di Nusantara itu menggambarkan penyatuan Muslimah dan kesucian Islam dalam menyatukan hati melalui ibadat.

INFO
Pameran Fotografi Kembara Rohani: Budaya dan Warisan Islam di Asia Tenggara

Tarikh: 14 Julai hingga 14 Oktober 2017

Jumlah: 50 foto

Tempat: Galeri Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM)

Maklumat lanjut: www.iamm.org.my/education

Berita Harian X