Selasa, 24 November 2015 | 12:12am

Rahsia Melaka Darul Azim


EMPAYAR Melaka pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu sangat gemilang, masyhur serta disegani pedagang dan pelayar dari seluruh dunia sehingga digelar bumi Darul Azim.

Umum mengetahui, setiap negeri mempunyai gelaran darul tersendiri, namun apakah yang dimaksudkan dengan nama 'darul' dan mengapa istimewanya Melaka digelar Darul Azim?

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat menerusi carian laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perkataan 'darul harab' ditakrifkan sebagai negeri yang rakyatnya belum memeluk agama Islam.


PENGURUS Besar Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP), Datuk Aziz Ujang. - Foto Rasul Azli Samad

Pengurus Besar Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP), Datuk Aziz Ujang, berkata perkataan darul itu dipetik daripada bahasa Arab 'ad'daar' atau 'daar' yang bermaksud kediaman atau rumah, manakala azim pula bermaksud agung, besar dan mulia.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, Darul Azim diguna pakai ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana kehebatan negeri itu diketahui bukan saja di nusantara, bahkan hingga seluruh dunia.

"Kehebatannya bermula dari sultan, pahlawan gagah perkasa, pedagang dan pelayar tempatan serta kapal dagang menjadikannya  lokasi tumpuan utama pihak luar dari Barat dan Timur ketika itu," katanya kepada BHPlus ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Aziz berpendapat, kehebatan negeri Hang tuah itu turut terbukti menerusi pandangan penulis Barat, Tom Pires yang mengatakan Pelabuhan Melaka ketika itu mampu memuatkan sejumlah kira-kira 2,000 kapal bersaiz antara 100 hingga 160 meter, pada satu-satu masa.


KOTA Melaka yang pernah menjadi terkenal ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

"Pada mulanya saya terkejut, namun ia sebenarnya bermaksud 2,000 kapal berlabuh dari Klang hingga Batu Pahat dan saya fikir kehebatannya itu adalah rasional dari Temasek (Singapura) ke Pattani (Thailand).

"Apabila pelayar kita, Panglima Awang (dikenali Enrique Melaka) iaitu manusia pertama mengelilingi dunia, ia juga membuktikan negara kita mempunyai individu yang hebat, malah Melaka tercatat dalam peta dunia.

"Cuma ada sesetengah pihak dengan niat tertentu mengatakan negara ini mundur, tetapi sebenarnya perlu yakin bahawa negara kita hebat berdasarkan bukti ini," katanya.

Gelaran Azim diberikan oleh pedagang Arab yang menyebarkan agama Islam pada ketika itu kerana Melaka bukan saja terkenal sebagai pentadbir yang cekap dan cemerlang, malah turut memperkenalkan undang-undang Kanun Melaka.


PENINGGALAN Kota A Famosa binaan Portugis di Bandar Hilir, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Bagaimanapun, katanya, sejak negeri yang pada ketika itu dinamakan Kota Melaka dijajah sekitar tahun 1511, gelaran Darul Azim kian luntur di bibir dan ingatan rakyat dan pedagang luar.

  

"Melaka dijajah selama lebih 446 tahun dan kita perlu menerima hakikat bahawa perubahan akan dan tetap berlaku, bahkan walau di negeri mana sekali pun.

  

"Apabila dijajah, segala khazanah akan diubah dan hasil negeri dibawa pulang ke negara masing-masing. Berdasarkan itu, pemimpin kita dan kita sendiri mempunyai banyak tugas menjadikan Malaysia sebagai negara membangun secara berperingkat selepas merdeka pada tahun 1957," katanya.


DATUK Aziz Ujang ketika ditemuramah di pejabatnya. - Foto Rasul Azli Samad

Katanya, beliau difahamkan pada 15 April 1989, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba mengisytihar Melaka sebagai Bandaraya Bersejarah kerana kaya dengan tempat pelancongan dan perkhidmatan sehingga diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

  

"Pengisytiharan itu amat tepat diberikan kepada negeri berkenaan yang mempunyai 12 sektor industri pelancongan menggambarkan kehebatan, keindahan dan kawasan menarik di seluruh negara.

  

"Justeru, rakyat Melaka, malah seluruh negara perlu berbangga dengan negeri yang pernah dikenali sebagai Melaka Darul Azim supaya wujud kesedaran jati diri bahawa negeri yang pertama dijajah kini sudah merdeka dari penjajahan,"katanya.

 

INFO

  • Kelantan Darul Naim
  • Terengganu Darul Iman
  • Pahang Darul Makmur
  • Johor Darul Takzim
  • Negeri Sembilan Darul Khusus
  • Selangor Darul Ehsan
  • Perak Darul Ridzuan
  • Kedah Darul Aman
  • Pulau Pinang Pulau Mutiara
  • Perlis (tidak lagi dikenali Indera Kayangan mulai 25 Mei 2015)
  • Sarawak Bumi Kenyalang
  • Sabah Negeri Dibawah Bayu

Berita Harian X