Isnin, 23 November 2015 | 9:53pm

Beri rebat tinggi kepada penjawat awam beli rumah - CEUPACS


PRESIDEN Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda. - Foto ihsan MHI

MELAKA: Kemampuan penjawat awam untuk membeli rumah semakin berkurangan disebabkan harga rumah pada kadar semasa adalah tinggi, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengambil langkah perlu bagi 'memulih' dan meningkatkan kembali keupayaan penjawat awam membeli rumah terutamanya mereka yang mahu membeli rumah buat kali pertama.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu kerajaan disaran memberikan nilai rebat lebih tinggi kepada pembelian rumah penjawat awam dan melihat semula bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap bahan pembinaan rumah untuk penjawat awam tersebut.

"Walaupun rumah itu sendiri tidak kena GST tetapi bahan-bahan yang digunakan untuk pembinaan rumah kena GST...(bagi) setiap rumah yang melebihi RM180,000 hampir RM30,000 dibelanjakan untuk (membayar) cukai sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam Pihak Berkuasa Tempatan Zon Selatan di Dewan Taming Sari, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Azih berkata, CUEPACS turut mencadangkan jumlah rebat sama dengan nilai GST dikenakan semasa proses pembinaan rumah itu, diberikan kepada penjawat awam yang membeli rumah terutamanya rumah pertama.

"Kita nak kalau boleh kerajaan tak payahlah ambil rumah pertama ini GST ...pulang balik (kepada penjawat awam) supaya boleh dibelanjakan untuk mereka membeli peralatan dan keperluan dalam rumah itu sendiri," katanya.

Pihaknya juga meminta kerajaan menilai semula harga sebenar rumah di negara ini mengikut kaedah ekonomi semasa menggunakan teknologi seperti sistem bangunan berindustri dan bukan berdasarkan spekulasi pasaran.

"Dengan semua usaha ini kami yakin harga rumah ini akan dapat dikurangkan lagi dan ini membolehkan lebih ramai rakyat terutama golongan muda memiliki rumah," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X