Isnin, 23 November 2015 | 6:31pm

Bank Negara, SC puji langkah China

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyambut baik pengumuman People's Bank of China untuk meluaskan program Pelabur Institusi Asing Layak Renmimbi (RQFII) kepada Malaysia dengan memberikan kuota agregat sebanyak 50 bilion yuan (RM33.75 bilion).

BNM dan SC dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, ia adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha Malaysia memperluas kerjasama dengan China dan akan melengkapkan pengurusan bank dalam renminbi dengan lebih jelas di Malaysia.

"Inisiatif ini secara bersama akan menyokong aliran perdagangan, pelaburan dan kewangan yang semakin meningkat antara China dengan Malaysia serta meletakkan Malaysia sebagai sebuah lagi pusat renminbi luar pesisir di rantau ini," katanya.

Mengikut kenyataan itu, dengan adanya rangka kerja berkenan, institusi Malaysia yang layak akan boleh menggembleng dana renminbi luar pesisir untuk mendapat pendedahan langsung kepada pasaran kewangan China dan menyumbang kepada pembangunan pasaran renminbi di Malaysia.

Sehubungan itu, SC akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Peraturan Sekuriti China untuk melaksanakan program RQFII.

Berita Harian X