Ahad, 22 November 2015 | 12:00am

Jawab kritikan terhadap ASN, SEA Write secara ilmiah


KERATAN akhbar BH terbitan 17 Oktober 2015

PENGUMUMAN nama penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) ke-13 oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 13 Oktober lalu menempa sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya sasterawan wanita ditabalkan menerima anugerah sastera paling berprestij negara itu.

Tuah pada kali ini memihak kepada Datuk Dr Zurinah Hassan, yang terkenal dengan kumpulan puisinya, Keberangkatan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya dua tulisan membicarakan kemenangan Zurinah, yang dilihat menjadi agak kontroversi kemudiannya.

Wan Nor Azriq menulis Hebat Sangatkah Menjadi Sasterawan Negara (SN)? dalam BH terbitan 17 Oktober 2015, selain Syafiq Kamarul menulis dalam akhbar lain dengan judul Zurinah Hassan Jadi SN Sebab Tak Vokal?

Ramai yang melenting membaca rencana Wan Nor Azriq hanya dengan melihat judulnya saja, walhal beliau tidak menghina, memperlekeh atau merendahkan mana-mana SN, termasuk Zurinah.

Tulisan Azriq itu memang ada benarnya dan beliau sendiri pun penulis muda yang bukan calang-calang dalam sastera Malaysia. Latar pembacaannya meluas dan kedalaman tinjauannya terhadap dunia sastera begitu memuaskan.

D.U.B.L.I.N membuktikan komitmen dan kesungguhannya terhadap sastera Malaysia dan antarabangsa. Namun, hanya kerana statusnya penulis muda, beliau dicemuh berikutan menceritakan latar dan suasana sebenar yang berlaku terhadap institusi ASN sekarang.

Persamaan yang jelas pada kedua-dua tulisan ini ialah Azriq dan Syafiq sama-sama mengakui hambarnya penerimaan khalayak terhadap anugerah terkemuka ini walhal ia pengiktirafan pada peringkat negara yang bakal disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Malah, penerimaan pada peringkat kerajaan sendiri juga sama. Saya menunggu sejam di berita RTM pada malam Zurinah diumum sebagai SN dan ternyata benar kata Syafiq Kamarul, tiada langsung berita mengenai ASN walaupun sidang media itu dilakukan oleh Menteri Pendidikan pada siangnya.

Pada bahagian tertentu, tulisan Wan Nor Azriq masih boleh diperhalusi dan didebatkan, antaranya seperti pandangan terhadap A Latiff Mohidin serta T Alias Taib, yang lebih popular dan berpengaruh daripada SN, Datuk Usman Awang dan SN, Datuk A Samad Said.

Pada kenyataan Syafiq dalam tulisannya perihal vokalnya Dr Siti Zainon Ismail dan tidak vokalnya Zurinah memerlukan pembuktian yang lebih banyak serta jelas dan lebih terperinci huraiannya agar kita dapat buktikan sama ada benar atau tidak pemilihan berdasarkan kriteria itu.

Kita selalu mendengar banyak rungutan bahawa dunia kritikan sastera sekarang begitu hambar dan lesu. Namun peliknya apabila ada penulis yang menulis esei kritikan, beliau pula dihentam dan dicela yang bukan-bukan.

Kritikan itu perlu seimbang pada kedua-dua bahagian, iaitu pertama; yang baik dan bermutu dipuji serta dicontohi, manakala kedua; yang silap dan tidak kena itu ditegur, dinasihati dan diperbaiki - diberi penambahbaikan dengan cara hikmah dan penuh bijaksana.

Namun, sikap orang kita ramainya tidak boleh ditegur kerana selalunya yang menegur itulah yang akan dicerca tohmah. Walhal kita boleh menjawab dan berhujah dengan cara lebih ilmiah serta sopan, iaitu dengan menulis esei lain menjawab tulisan tersebut, mudah saja!

Dengan ini penulis boleh membentangkan hujah masing-masing dengan lebih jelas dan teratur. Malah, ia akan merancakkan lagi dunia kritikan kita yang dikatakan lesu tadi. Bukannya dengan menghentam di ruang komen media sosial seperti Facebook.

Selain Zurinah, antara nama pengarang wanita yang cukup kuat untuk dinobatkan sebagai SN ialah Dr Fatimah Busu, Siti Zainon, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim dan Adibah Amin.

Fatimah nama yang tidak asing lagi dalam kesusasteraan negara sejak menghasilkan novel Ombak Bukan Biru puluhan tahun lalu. Cerita yang dikarang seperti Nasinya Tumpah dan Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan, menyentuh hati anak sekolah yang membacanya sejak sekian lama.

Benarlah kata penyair muda, Muhammad Lutfi Ishak bahawa apabila berbicara mengenai karya yang berkualiti, Anugerah SEA Write dan ASN bukanlah segala-galanya.

Muhammad Lutfi menyenaraikan setidak-tidaknya dua nama yang tercicir daripada anugerah besar sastera berkenaan yang menjadi kayu ukur kejayaan penulis kreatif tanah air. Mereka yang dimaksudkan ialah Azizi Haji Abdullah dan T Alias Taib.

Lebih malang, T Alias Taib bukan saja tidak dinobatkan sebagai SN semasa hayatnya, malah Anugerah SEA Write pun tidak diberikan untuknya meskipun beliau antara penyair Malaysia yang sangat kuat sajaknya.

Kehadirannya dalam dunia penulisan sejak puluhan tahun lalu memberikan kesan yang amat dalam dan begitu berbekas kepada sastera.

Keintelektualan sajak T Alias Taib hampir menyamai tingkat kebijaksanaan yang ada pada karya SN yang terkemuka dalam bidang persajakan - Prof Dr Muhammad Haji Salleh. Petang Condong dan Di Sisi Pelita Minyak Tanah cukup untuk membuktikan kewibawaan beliau dalam dunia sastera tanah air.

Berbeza dengan Azizi yang sempat juga merasa menjadi pemenang Anugerah SEA Write walaupun ASN tidak dapat dikecapnya seumur hidup. Kewibawaan Azizi terserlah sejak sekian lama seawal novel besarnya, Seorang Tua di Kaki Gunung.

Beliau mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai novelis terkemuka Malaysia dengan Kawin-kawin, diikuti antara yang terkini sebelum pemergiannya ke alam baqa, iaitu Harga Sebuah Maruah dan Sangheeta.

Tanyalah kepada mana-mana pengkritik dan sarjana sastera Malaysia yang jujur serta berhati tulus untuk memartabatkan sastera Melayu, mereka pasti mengakui Azizi layak untuk dinobatkan sebagai SN.

Pada masa sama, tidak menjadi isu pun jika sasterawan yang diangkat menjadi SN itu tidak pernah menerima Anugerah SEA Write kerana SN Keris Mas dan SN Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad juga tidak menerima anugerah penulisan pada peringkat Asia Tenggara.

Malah, tidak benar juga jika ingin dikatakan setiap yang menerima Anugerah SEA Write itu pasti akan menjadi SN kerana Azizi, Jihaty Abadi dan Suhaimi Haji Muhammad meninggal dunia tanpa sempat mendapat gelaran berkenaan.

Jika ditelusuri jagat kepengarangan Melayu sejak awal, perihal tersingkirnya nama pengarang besar dalam senarai SN bukanlah perkara baharu.

Sejak SN Keris Mas diumumkan sebagai penerima pertama anugerah sastera paling berprestij ini, sudah ada nama pengarang besar kita yang 'dinafikan' haknya untuk mendapat gelaran sastera terulung itu.

Pengarang Melayu berwibawa yang dimaksudkan ialah Pak Sako. Beliaulah yang sepatutnya bergelar SN yang pertama.

Beliau sama-sama mendapat Anugerah Pejuang Sastera daripada kerajaan ketika itu sama seperti temannya yang dinobatkan menjadi SN, namun SN tidak diberikan kepada novelis ulung Melayu ini.

Namanya dimasukkan ke dalam buku teks sekolah pelajar kita sebagai antara pejuang kemerdekaan negara dengan menggunakan pena sehingga kita pasti bertemu dengan dua novel Pak Sako yang disebut - Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila.

Kehebatan Pak Sako dalam bidang novel terbukti apabila kumpulan akhbar mengambil nama beliau untuk satu sayembara penulisan novel, iaitu Hadiah Sako.

Nama lain yang juga wajar dipertimbangkan untuk dinobatkan sebagai SN ialah A Latiff, Norhisham Mustaffa, Malim Ghozali Pk, Datuk Rahman Shaari dan Mohd Affandi Hassan.

Warga sastera memiliki harapan tinggi agar insan yang layak akan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya supaya tidak akan tercicir lagi nama sasterawan dalam senarai pengiktirafan seperti yang pernah berlaku pada Pak Sako, Azizi, T Alias Taib dan Suhaimi.

Namun, janganlah nanti kita berasa pelik atau hairan jika ada penulis besar yang tertinggal namanya daripada sebarang anugerah kebangsaan kerana kualiti dinilai melalui karya itu sendiri yang kehebatannya terbukti apabila hidup dalam jiwa khalayak sastera dan pembacanya sepanjang zaman.

PROFIL:

Penulis ialah penerima Penghargaan Karyawan Kelantan (Kategori Penulis Muda) pada tahun 2013 dan menghasilkan karya, Pemain Bahasa, Sebelum Menjadi Penakut dan ALLAH!.

Berita Harian X