Sabtu, 21 November 2015 | 8:00am

Juara remaja dunia tidak pandang rendah saingan ASG


PENGARAH Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia Dr. Mehander Singh Nahar Singh (dua, kiri) bermesra dengan atlet badminton Malaysia, Goh Jin Wei (dua,kanan) sebelum majlis penyerahan bendera kepada kotinjen Malaysia untuk Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN Kali Ke-7 di Brunei Darussalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Juara remaja dunia, Goh Jin Wei tidak mahu memandang rendah pesaingnya dalam acara badminton di temasya Sukan Sekolah ASEAN (ASG) yang akan bermula di Brunei hari ini sehingga 29 November.

Jin Wei, 15, berkata walaupun dia kini memegang status juara dunia, ia bukan tiket baginya untuk mengambil mudah saingan lawan terutamanya dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

Katanya, dia akan menggunakan pengalamannya dalam beberapa penyertaan peringkat antarabangsa tahun ini untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen negara di Brunei nanti.

"Saya akan memberikan persembahan terbaik dan cuba mempertahankan pingat emas negara dalam acara perseorangan wanita. Tahun lalu saya menjadi naib juara selepas tewas kepada Lee Ying Ying.

"Bagi saya masih ramai lagi pesaing yang mempunyai kekuatan tersendiri. Selepas menjuarai gelaran juara remaja dunia baru-baru ini, keyakinan saya lebih baik," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Jalur Gemilang bagi Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini, semalam.

Jin Wei muncul juara dunia selepas menundukkan Ying Ying, 18, di final yang menemukan dua pemain negara di Kejohanan Remaja Dunia di Lima, Peru, Ahad lalu.

Selepas aksi di Brunei, Jin Wei akan menyertai Cabaran Antarabangsa India dari 9-13 Dis ini.

Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) menghantar seramai 122 atlet bagi menyertai tujuh jenis sukan iaitu olahraga, badminton, bola jaring, golf, pencak silat, renang dan sepak takraw.

Ketua kontinjen negara Zainuren Mohd Nor optimis Malaysia yang juga juara bertahan mampu mengulangi kejayaan di Filipina tahun lepas dengan pencapaian 41 pingat emas, 34 perak dan 30 gangsa.

Kontinjen negara akan berlepas ke Brunei pagi ini.

Bagi temasya kali ini, Malaysia menyasarkan 26 emas sahaja tahun ini kerana acara sukan yang dipertandingkan adalah kurang berbanding tahun lalu.

Untuk rekod Malaysia menjuarai ASG sebanyak dua kali iaitu ketika menjadi tuan rumah pada 2011 dan di Filipina tahun lalu.

-- BERNAMA

Berita Harian X