X
Sabtu, 21 November 2015 | 12:07am

Pantau perkembangan fizikal anak


IBU bapa perlu sentiasa lebih peka dengan perkembangan fizikal anak masing-masing mengikut kesesuaian usia bagi mengelakkan proses tumbesaran terencat pada masa depan.

Ini kerana anak yang mengalami perkembangan lewat adalah petanda mereka berkemungkinan berhadapan masalah berkaitan saraf otak. Saraf otak boleh rosak akibat tercedera ketika dalam kandungan atau semasa dilahirkan selain disebabkan jangkitan kuman.

 

Perunding Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, berkata kegagalan mengesan gejala yang ditunjukkan menyebabkan rawatan lewat diberikan hingga merencatkan tumbesaran anak.

 

Beliau berkata, ibu bapa perlu memerhatikan empat perkembangan membabitkan perkembangan motor besar seperti bila mereka mula duduk dan berjalan.

Katanya, perkembangan motor kecil pula seperti pergerakan mata, boleh memegang pensil, mula bertutur, senyum dan mengenali orang lain.

gn4id:10665890

Peka proses tumbesaran

"Pemerhatian terhadap perkembangan anak perlu dibuat setiap bulan dalam tempoh tiga bulan pertama disusuli setiap dua bulan dan seterusnya.

 

"Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu risau sekiranya perkembangan dilalui mereka lewat sedikit tetapi sekiranya masalah berpanjangan, kanak-kanak tadi perlu dirujuk kepada doktor.

 

"Bayi yang berisiko tinggi perlu mendapatkan rawatan susulan setiap bulan dan pemerhatian rapi dijalankan ke atas pergerakan otot termasuk pendengaran serta tindak balas refleks bayi," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.

Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, sekiranya menunjukkan sebarang tanda membimbangkan, mereka perlu melalui program intervensi awal (EIP) bagi menjalani terapi seperti pertuturan, pendengaran dan fizikal seperti berjalan.

 

Sebagai contoh, katanya, bayi yang sudah berusia setahun setengah tetapi masih tidak boleh berjalan, tidak boleh dipandang ringan.

   

"Alasan budak lelaki lambat berjalan berbanding perempuan atau faktor genetik tidak boleh diterima. Jangan tunggu lama untuk mendapatkan rawatan segera menerusi penilaian perubatan," katanya.

 

PERUNDING Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
PERUNDING Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Mohd Feizel Alsiddiq. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Lemah otot ganggu tumbesaran

Daripada segi perubatan pula, beliau berkata, kanak-kanak yang lewat berjalan terbahagi kepada dua iaitu disebabkan otot yang lemah dan keras (spastik) akibat kecederaan otak dan otot yang lemah dan lembut (longlai).

 

"Walaupun secara luaran fizikal mereka kelihatan tegap, sebenarnya otot yang lemah dan keras menyebabkan kanak-kanak terbabit tidak boleh melangkah atau berjalan.

 

"Otot yang lemah dan lembut menjadi punca kaki tidak boleh ditegakkan apatah lagi hendak melangkah ke depan.

 

"Penilaian perubatan boleh dijalankan bertujuan membezakan punca masalah kanak-kanak terbabit tidak boleh berjalan," katanya.

 

Bagi pesakit spastik pula, Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata fisioterapi boleh dilakukan dengan menjalani latihan berjalan.

Beliau berkata, urutan dan ubat oral akan diberi untuk melembutkan otot atau botok untuk memudahkannya berjalan.

   

"Kanak-kanak terbabit juga boleh berjalan dengan bantuan peralatan seperti tongkat atau 'walker'.

 

"Begitu juga dengan kanak-kanak berusia setahun sehingga 18 bulan, sepatutnya mereka sudah boleh bertutur sekurang-kurangnya lima perkataan seperti papa dan mama. 

 

IBU bapa perlu memerhatikan perkembangan motor besar anak seperti bila mereka mula duduk dan berjalan.
IBU bapa perlu memerhatikan perkembangan motor besar anak seperti bila mereka mula duduk dan berjalan.

Cari punca bunyi

Begitu juga pada usia sebulan, bayi yang mempunyai pendengaran normal sepatutnya akan terkejut apabila terdengar bunyi kuat seperti hempasan pintu atau suara jeritan. 

   

"Pada usia tiga bulan, mereka mula mencari arah datang suara seseorang dan mula mengenali nama mereka sendiri apabila dipanggil pada usia sembilan bulan.

   

"Sekiranya anak tidak menunjukkan sebarang reaksi pada sebarang bunyi, berkemungkinan ada masalah pendengaran dan perlu dibawa berjumpa doktor untuk menjalani ujian pendengaran," katanya.

 

Katanya, kerosakan saraf otak juga boleh disebabkan penyakit yang pernah dialami bayi seperti jaundis yang tidak dirawat atau pernah melalui trauma jatuh sehingga pengsan akibat pendarahan dalam otak.

   

Jaundis yang mencecah bacaan 400 boleh mengeluarkan bahan kimia dikenali sebagai bilirubin yang meresap ke dalam otak dan menjadi toksik yang menghancurkan sel dalam otak.

   

"Ia memberikan kesan jangka panjang kerosakan otak (kernicterus), iaitu serangan jaundis pada tahap bacaan tinggi iaitu 450 dan akut. Keadaan ini menyebabkan bayi lemah dan tidak boleh menyedut susu. Menangis hingga diserang sawan.

"Kelewatan mendapatkan rawatan meninggalkan kesan jangka panjang hingga menjejaskan pendengaran dan perkembangan yang lambat," katanya.

PADA usia tiga bulan, bayi mula mencari arah datang suara seseorang dan pada usia sembilan bulan mula mengenali nama sendiri apabila dipanggil.
PADA usia tiga bulan, bayi mula mencari arah datang suara seseorang dan pada usia sembilan bulan mula mengenali nama sendiri apabila dipanggil.

Rangsang otak anak

Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, serangan sawan yang teruk dan jangkitan meningitis dalam otak yang tidak dirawat juga menyebabkan kesukaran belajar pada masa depan.

 

Bagaimanapun, katanya, hampir 99 peratus kanak-kanak yang pernah demam panas tidak mengalami kerosakan otak.

Bagi memastikan pertumbuhan sel otak yang sihat, katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam usaha merangsang otak anak.

"Ini boleh dicapai dengan menyediakan pemakanan seimbang mengandungi karbohidrat, protein, zat buah-buahan dan sayuran. Ibu bapa boleh menyediakan sajian seimbang selain meluangkan masa berkualiti bersama mereka.

   

"Jangan biarkan anak bermain dengan gajet seperti telefon atau komputer riba bersendirian. Adalah lebih baik jika ibu bapa dapat sertai mereka untuk merangsang pertuturan selain menyediakan permainan merangsang otak seperti `lego' dan `jigsaw puzzle'. Aktiviti sebegini merangsang jari, tangan dan penglihatan mereka," katanya.

Berita Harian X