Sabtu, 21 November 2015 | 12:01am
MASAKAN kerapu tiga rasa antara menu istimewa di Embun Cafe.
NASI ayam turut disajikan di Embun Cafe.
ROTI arab dengan kuah kari begitu menyelerakan di Embun Cafe.

Tak cukup sepinggan nasi gara-gara kari kepala ikan jemuduk


PELANGGAN menjamu selera di Embun Cafe.

'SEKALI cuba, pasti datang lagi' slogan Embun Cafe di Kuala Pahang, Pekan, lokasi sesuai untuk membawa isteri dan anak-anak, makan tengah hari dengan hidangan makanan laut yang segar, pada hujung minggu atau pada hari-hari istimewa dalam keluarga.

Juadah segar yang dimaksudkan adalah hasil laut yang baru dinaikkan dari bot nelayan yang berlabuh di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Pahang.

Ketika berkunjung ke kafe itu, penulis bersama dua pengacara tetap GP Joran BH, iaitu Joe Aziz dan Mohd Amran Mat Isa (Amm) dihidangkan dengan kari kepala ikan merah, asam pedas tenggiri, kerapu masak tiga rasa dan jemuduk masak sambal serai.

Mereka mengakui, semua lauk yang dihidangkan memang sedap. Adunan rempah ratus yang menjadi bahan utama untuk setiap menu itu memang cukup tersendiri.

Gabungan bekalan ikan yang segar dan terbaik dari jeti, bersama-sama adunan rempah yang teliti dan dihidangkan pula panas-panas, membuatkan kami cukup puas.

Malahan, kami tidak segan silu untuk menambah nasi sehingga tiga kali kerana penangan kuah kari dan asam pedas yang disajikan di Embun Cafe.

Nasi bersama kari kepala ikan merah, asam pedas tenggiri, kerapu masak tiga rasa dan jemuduk masak sambal serai adalah antara menu istimewa di kafe ini.

Pelanggan juga boleh memilih beberapa menu lain yang tidak kurang enaknya seperti nasi ayam, nasi hujan panas, piza dan roti arab. Semuanya bergantung kepada selera masing-masing.


KARI kepala ikan antara menu yang mendapat sambutan di Embun Cafe.

Pelanggan dari luar Pahang

Mudah untuk mencari Embun Cafe yang diusahakan oleh Emmadilla Zakaria kerana ia terletak sederet dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Pahang, Pekan, di tepi jalan dan hanya 100 meter dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Pahang.

Setiap hari, bermula sebelum dinihari beberapa bot nelayan Kuala Pahang singgah di jeti itu untuk memunggah hasil tangkapan terdiri daripada pelbagai jenis ikan segar dan sebahagian daripadanya sudah ditempah oleh Embun Cafe sebagai hidangan pelanggannya.

Itulah kelebihan yang akan anda nikmati apabila menjamu selera di restoran ini, yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu.

Sebelum ini, restoran itu yang sudah berusia empat tahun menggunakan nama Kopisatu Cafe atau Evergreen Cafe, yang memang terkenal bukan saja dalam kalangan penduduk berhampiran malah mereka yang datang dari Terengganu, Johor, Perak, Kuala Lumpur.


PIZA mini boleh dicuba di Embun Cafe.

Guna rempah adunan Maksu

Emmadilla yang lebih mesra dipanggil Emma, berkata setiap hujung minggu ramai pelanggan dari luar Pahang berkunjung ke situ untuk makan tengah hari, sama ada bersama keluarga, rakan-rakan atau rombongan.

"Menu yang paling kerap diminta ialah kari kepala ikan merah, asam pedas ikan tenggiri, kerapu masak tiga rasa dan sambal serai ikan jemuduk.

"Rasa tiga menu utama yang kami hidangkan di sini, iaitu asam pedas, masak tiga rasa dan kari kepala ikan berbeza dengan tempat lain kerana ia menggunakan pes jenama ramuan Maksu keluaran Evergreen Resources & Management, syarikat induk Embun Cafe, yang sudah lama berada di pasaran," katanya.

Emmadilla berkata, beberapa lagi produk ramuan Maksu yang ada di pasaran ialah pes Nasi Ayam, Pes Nasi Briani, Pes Nasi Minyak yang dihasilkan bagi memudahkan wanita yang berkerjaya, individu yang suka memasak atau suri rumah menyediakan menu sedap untuk keluarga atau diri sendiri.

Beliau berkata, ramuan Maksu adalah resipi turun temurun, keluarganya, mudah dihidangkan dan enak dimakan bersama keluarga atau menjamu saudara-mara atau rakan-rakan.

Berita Harian X