Khamis, 19 November 2015 | 6:45pm

Nenek ungguli Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014


KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan menunjuk novel Nenek karya Razali Endun dan kumpulan cerpen Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim sambil diperhatikan oleh Pengarah Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Novel Nenek karya Razali Endun dan kumpulan cerpen Langit Tidak Berbintang di Ulu Slim oleh Mohamed Ghozali Abdul Rashid mengungguli Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2014).

Kemenangan itu membolehkan Razali dan Mohamed Ghozali masing-masing meraih hadiah bernilai RM10,000.

Turut memenangi kategori buku/kumpulan hadiah paling berprestij di negara ini ialah kajian sastera, Oksidentalisme dalam Sastera Melayu sebelum Merdeka hingga Era Mahathir Mohamad karya Dr Mohamad Saleeh Rahamad; kumpulan puisi, Jaulah Sampai Syurga (Ahmad Muzaffar Baharudin) dan Biografi Ishak Shaari: Pejuang Bumi Semua Manusia (Mohamed Salleh Lamry).

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan, berkata semua pemenang menerima hadiah pada Majlis Penyampaian Hadiah HSPM 2014 yang bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan, Rabu ini.

Awang berkata, penilaian HSPM menggunakan kriteria pemilihan yang merangkumi kekuatan kesatuan karya dan keaslian persoalan, selain keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan.

"Panel turut mementingkan keindahan moral dan inovasi dalam kreativiti yang ditampilkan karya pemenang.

"Berdasarkan penelitian, HSPM 2014 menunjukkan banyak perkembangan positif dalam karya yang dipertandingkan termasuk penerokaan pada bidang asli, selain peningkatan gaya penulisan yang berinovasi.

"Bilangan karya juga semakin meningkat, misalnya 264 pencalonan bagi kategori Buku/Kumpulan berbanding 184 judul pada tahun lalu," katanya dalam sidang media pengumuman pemenang HSPM 2014 di Menara DBP di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran.

Dua kategori lain dipertandingkan dalam HSPM 201 ialah karya eceran yang menawarkan hadiah RM2,000 dan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja (RM5,000).

Berita Harian X