Khamis, 19 November 2015 | 2:08pm

Terengganu beri insentif 2,558 murid cemerlang UPSR - MB


MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto NSTP

KUALA TERENGGANU: Murid cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 di Terengganu akan diberikan insentif Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bernilai RM500 setiap seorang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.2 juta sebagai insentif untuk 2,558 murid yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 7A dalam UPSR 2015 yang diumumkan, Selasa lalu.

Beliau berkata, insentif berkenaan akan diagihkan kepada murid terbabit pada satu majlis khas meraikan kejayaan mereka di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Nerus pada 22 November ini.

"Selain meraikan calon dan ibu bapa murid yang cemerlang, majlis istimewa itu turut meraikan guru, sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah yang cemerlang.

"Insentif dan majlis ini diadakan khusus sebagai penghargaan daripada kerajaan negeri kepada murid yang cemerlang, sebagai dorongan buat mereka dan murid lain untuk terus menempa kecemerlangan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pelancaran Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2015 di Dataran Batu Burok, di sini, hari ini.

Seramai 2,558 dari 20,121 calon yang menduduki UPSR di seluruh negeri meraih 5A dan 7A.

Pencapaian UPSR Terengganu pada tahun ini menunjukkan keputusan lebih baik berbanding 2014 dari segi kuantiti dan kualiti, di mana Gred Purata Sekolah (GPS) negeri pada tahun ini ialah 2.10 berbanding 2.15 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, dengan peningkatan itu, keputusan UPSR tahun ini mencipta sejarah apabila buat pertama kali mencapai gred berkenaan.

Berita Harian X