Selasa, 17 November 2015 | 4:32pm

ASCG: Boling sumbang 2 emas untuk negara

PETALING JAYA: Skuad tenpin boling Malaysia pada temasya Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN pertama (ASCG2015) memulakan langkah cemerlang selepas memenangi dua emas yang ditawarkan hari ini.

Malaysia meraih pingat itu melalui Muhammad Bakri Husain dan Nurul Atiqah Ahmad masing-masing dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Acara tenpin boling yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway dekat sini menyaksikan Muhammad Bakri terpaksa menempuh saingan sengit pemain Singapura, Tay Song Jeh.

"Selepas empat permainan saya dimaklumkan bahawa saya mendahului peserta lain dengan hanya dua pin. Selepas permainan kelima pun saya mendahului dengan dua pin juga.

"Untuk permainan terakhir saya cuba tenang dan tidak merasa gugup dan terus bermain dengan prestasi terbaik saya.

"Saingan dalam kejohanan ini sangat sengit sebab kita tidak tahu prestasi permainan lawan, jadi perlu berikan yang terbaik," kata petugas di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah itu kepada Bernama.

Muhammad Bakri berjaya memperoleh 197 jatuhan pin pada permainan terakhir untuk mengumpul 1,318 jatuhan pin, 25 pin mengatasi Tay dengan 1,293 jatuhan pin.

Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi pemain Malaysia, Mohd Zul Fauzi Mohamed Sawal dengan 1,272 jatuhan pin.

Sementara itu dalam kategori wanita, Nurul Atiqah bermain secara konsisten dan tenang untuk mendahului perlawanan sejak dari awal.

Beliau berjaya mengumpul 1,275 jatuhan pin untuk mengatasi rakan sepasukan Dayang Salina Awang Kaum, yang memperoleh 1,178 jatuhan pin, untuk meraih pingat emas.

Pingat gangsa dimenangi Phimmala Sisoukvongxay dari Laos dengan 1,161 jatuhan pin.

"Saya rasa kami (pemain Malaysia) bermain tanpa tekanan dan hanya memberikan saingan terbaik kami di sini. Ini adalah kejayaan terbesar saya dalam sukan boling," kata pemain berusia 19 tahun yang berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

Berdasarkan prestasi yang dipamerkan pemain, pengurus pasukan tenpin boling Ariffin Abd Ghani berkata mereka mampu memenangi sebahagian daripada pingat emas yang ditawarkan.

Sebanyak lapan pingat emas ditawarkan dalam acara tenpin boling dan pertandingan diteruskan dengan acara doubles esok.

Untuk edisi pertama temasya Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN dari 15 hingga 19 November itu, kontinjen negara yang diketuai Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mensasarkan sebanyak enam pingat emas.

Temasya sukan yang julung kali diadakan itu membabitkan sukan tenpin boling, badminton, ping-pong, golf dan futsal.

-- BERNAMA

Berita Harian X