Selasa, 17 November 2015 | 2:08pm

TH Properties sertai projek kediaman A$500j di Sydney

KUALA LUMPUR: TH Properties Sdn Bhd dan rakan kongsi usaha sama di Australia, Piety Group, sedang memajukan projek pembangunan kediaman 'ONE The Waterfront' bernilai A$500 juta di Wentworth Point, kira-kira 13 kilometer dari Daerah Pusat Perniagaan Sydney.

'ONE The Waterfront' adalah satu daripada tiga projek kediaman yang sedang dilaksanakan di Sydney, oleh syarikat rakan kongsi usaha sama 50:50 mereka, Piety THP Developments Pty Ltd.

Mensasarkan pelaksanaannya pada April 2016, lebih 650 pangsapuri akan dibina dalam tiga fasa di atas tapak tanah tebus guna seluas 2.56 hektar berbentuk kuadran.

Pengarah Urusan Piety Group, Bilal El Cheikh, berkata permohonan bagi cadangan membangunkan 273 unit pangsapuri sudah dikemukakan kepada Majlis Bandar Raya Auburn bagi fasa pertama pembangunan, dijadualkan siap bulan September 2017.

"Dalam fasa ini, akan ada lima blok empat ke sembilan tingkat," katanya kepada wartawan Malaysia di Sydney baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini melawat ke tapak projek dan merasmikan projek pembangunan TH Properties yang baharu siap, Bay Pavilions bernilai A$220 juta, pembabitan antarabangsa pertama terletak di Lane Cove, Sydney.

'One The Waterfront' adalah satu lagi campuran pangsapuri premium yang mempunyai sebuah, dua dan tiga buah bilik yang luas berharga di antara A$639,000 dan A$1.441 juta.

"Kami akan mengemukakan pelan untuk membina bangunan setinggi 30 tingkat dalam fasa seterusnya. Jika berjaya, 'One The Waterfront' akan menjadi sebuah bangunan pangsapuri ikonik di sini," kata Bilal.

Direka oleh pemenang anugerah, Stanisic Architects, 'One The Waterfront' akan berdiri tinggi di sekitar kawasan pembangunan kediaman rendah yang hanya lima tingkat tinggi.

Tapak bangunan ini mendapat manfaat dari kedudukannya berhampiran Kawasan Taman Olimpik Sydney seluas 635 hektar, menikmati infrastruktur kelas dunia, kemudahan sukan dan rekreasi serta taman.

Beberapa pembangunan sedang dilaksanakan di Wentworth Point termasuk jambatan baru ke Rhodes, Kawasan Perniagaan Marina Square, Peninsula Park dan sebuah sekolah rendah.

TH Properties memperuntukan kira-kira RM220 juta untuk semua projeknya di Australia dan sekarang sedang memulakan tiga projek pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi A$800 juta.

Cabang pembangunan hartanah Lembaga Tabung Haji Malaysia sudah mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan dengan pembangunan ini.

Di samping 'ONE The Waterfront', TH Properties telah memulakan pembinaan projek Imperial Hurstville terletak di Treacy Street, Hurstville dengan GDV kira-kira A$200 juta.

Ia juga mempunyai satu lagi projek, cadangan membina pangsapuri tinggi yang akan mula dibina pada tahun 2016 di North Strathfield.

- BERNAMA

Berita Harian X