Selasa, 17 November 2015 | 12:17pm

Umie terpaksa tukar baju 12 kali


UMIE (kiri) memegang watak Manisah iaitu seorang jurujual jamu yang begitu menitik beratkan penampilannya. - Foto Asyraf Hamzah

DI sebalik gelak tawa penonton menonton teater muzikal Mak Cun, pasti tumpuan turut terarah kepada watak Zenath Manisah.

Watak wanita yang tampil bak Ratu Jamu ini muncul dengan persalinan pada setiap babak membabitkan dirinya kala beraksi di pentas.

Datin Umie atau pemilik nama sebenar Umi Khalsum Rahmad memegang watak Manisah iaitu seorang jurujual jamu yang begitu menitik beratkan penampilannya.

Gaya Manisah setiap hari sarat dengan busana pelbagai warna dihiasi dengan aksesori berkilauan.

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik hasil lakonannya dalam filem `Sembunyi: Amukan Azazil' itu begitu menonjol kerana tampil menggayakan busana Bollywood pelbagai warna untuk setiap babak yang dijayakannya.

Menurut aktres berusia 42 tahun itu, beliau perlu memastikan watak ditawarkan kepadanya relevan dengan imej dan personalitinya yang berhijab.

"Saya tidak rasa dibeban dengan kostum Bollywood yang perlu saya gayakan untuk setiap babak bagi menjayakan watak Manisah.

"Jujur saya akui memang agak mencabar untuk saya menyarungkan kostum dalam tempoh yang singkat.

"Tuntutan watak membuatkan saya terpaksa menukar 12 helai baju mengikut setiap babak yang bersesuaian.

"Ia adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang pelakon dan saya juga seronok bekerja bersama-sama dengan para pelakon dan produksi ibarat keluarga.


PEMENTASAN teater Mak Cun di Istana Budaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Semestinya saya menitik beratkan pakaian yang dipakai sepanjang pementasan Mak Cun ini, maka saya memilih untuk duduk berbincang bersama penaja untuk menetapkan warna yang bersesuaian dengan babak yang diberikan," katanya kepada BH Online.

Menurut Umie, pihak produksi menyediakan satu bahagian khas untuk pelakon wanita menyalin pakaian dalam jangka masa singkat untuk babak seterusnya.

"Kemunculan Umie mendapat perhatian penonton kerana kebiasaannya pelakon teater menukar sekurang-kurangnya tiga persalinan saja.

"Kekecohan di belakang pentas memang sukar untuk digambarkan kerana setiap pelakon cuba untuk sedaya upaya menukar baju secepat mungkin. Pihak produksi menyediakan satu bahagian khas untuk pelakon wanita menyalin baju.

"Ada antara babak yang memerlukan saya untuk menukar baju sepantas kilat kerana perlu menggayakan persalinan berbeza untuk setiap situasi. Berlari-lari anak saya dibuatnya bagi memastikan saya berada di pentas pada masa ditetapkan.

"Saya juga tidak mempunyai masalah untuk membawa motor tetapi agak mencabar juga bagi memastikan motor itu berada di landasan yang betul dan tidak menekan minyak berlebihan sehingga terlajak," kata Umie.

Teater muzikal Mak Cun turut dibintangi Nora Danish, Datin Umie Aida, Ungku Ismail, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Dafi Ismail dan Betty Rahmad.

Teater itu ditayangkan bermula 14 sehingga 22 November di Panggung Sari Istana Budaya menawarkan hiburan yang sarat dengan gelak tawa dan mesej tersendiri.

Ia juga menyaksikan gandingan semula Erma dan Fauziah Ahmad Daud selepas lebih 20 tahun dalam satu produksi.

Gandingan dua primadona ini ternyata memberikan impak menarik kepada naskhah yang dipentaskan itu.

Berita Harian X