Isnin, 16 November 2015 | 4:36pm

Mak Cun kembali naikkan populariti Balkisyh


PELAKON, Balkisyh pada pratonton Teater Muzikal Mak Cun di Istana Budaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Siapa sangka tuahnya beberapa kali berlakon di bawah arahan Erma Fatima, pelakon Balkisyh Semundur Khan, 29, kini antara kegemaran sutradara berkenaan. Bermula dengan telefilem Spain Uoolls, dia kemudiannya membintangi drama Ajaibnya Cinta dan kemudian diikuti dengan Mak Cun, Balkisyh kini ke pentas teater pula.

Teater Mak Cun juga di bawah arahan Erma Fatima yang kini sedang rancak dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya menjadi percubaan pertama Balkisyh ke pentas berkenaan.

Biar sudah 12 tahun di persada seni, kerjaya Balkisyh sebenarnya tenggelam timbul. Rumah tangganya sendiri pernah menggemparkan industri hiburan tiga tahun lalu. Tetapi itu kisah dulu, Balkisyh kini bangkit dengan semangat baharu.

Karakter komedi Atul yang dijenamakan dalam siri drama dan teater Mak Cun yang memerlukannya bercakap loghat Utara benar-benar memberi impak tersendiri buat kerjaya seninya. Sekali pandang dengan watak Atul itu, Balkisyh seperti datang dari negeri utara tanah air sedangkan hakikatnya dia berasal dari Sabah.

"Saya anggap ini rezeki. Terima kasih kepada Kak Erma kerana mempercayai bakat ini dan sentiasa menjadikan saya sebagai pilihannya. Ia pembuka rezeki saya. Ikutkan saya pernah bawa watak komedi sebelum ini termasuk dalam siri Awie Records, tetapi mungkin juga watak itu kecil atau sekadar tempelan, ..jadi ramai yang tak perasan.

"Menjadi pilihan Kak Erma, saya amat bersyukur. Malah ketika terbabit dengan teater ini, rezeki saya murah. Cuma ada tawaran yang saya terima itu terpaksa diketepikan kerana saya tak mahu tamak dan menimbulkan masalah dengan produksi yang terbabit. Insya-Allah pertengahan bulan Disember ini saya akan ke lokasi penggambaran drama Mak Cun musim kedua pula.

"Selama bekerja dengan Kak Erma pun saya tak berkira dalam soal bayaran. Saya senang dan selesa bekerja dengannya," katanya.

Balkisyh sudah 10 tahun berkahwin dengan Mohd Aizad Mohd Rosli dan dikurniakan dua orang anak, Nur Qalesya (6) dan Muhamd Nor Qaisyh Khan (2).

Pementasan teater Mak Cun berkisar mengenai perjalanan Mak Cun yang berusaha memasarkan produknya iaitu bedak sejuk ke luar negara. Balkisyh menghidupkan watak Atul. Teater muzikal ini turut dibintangi Erma, Ungku Ismail, Ogy Ahmad Daud, Datuk Rahim Razali, Datin Umie Aida, Nora Danish, Dafi dan Betty Rahmad.

Ia dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada sejak 14 hingga 22 November hadapan. Tiket dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156. Tiket boleh dibeli dengan melayari www.redtix.airasia.com.

Berita Harian X