Ahad, 15 November 2015 | 3:15pm

Anak buah Arul perlu kekal rentak di Kuantan


ARUL Selvaraj. - Foto Zulkepli Osman

PETALING JAYA: Menteri Beliau dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu skuad hoki remaja negara mengekalkan rentak dalam saingan Hoki Piala Remaja Asia yang sedang berlangsung di Kuantan.

Beliau berharap skuad kendalian Arul Selvaraj itu muncul juara dalam kejohanan itu dalam usaha memburu slot ke Piala Dunia Remaja 2016.

Malaysia bermula cemerlang apabila berjaya membenam China 4-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Hoki Kuantan, semalam.

"Satu kemenangan yang baik dan kita mengharapkan keputusan yang baik berterusan.

"Kejohanan itu adalah pentas utama bagi skuad hoki remaja negara dan saya harap mereka akan muncul sebagai juara kejohanan tersebut," katanya selepas majlis penutup program Fit Malaysia 2015 di Dataran Petaling Jaya di sini, hari ini.

Skuad hoki negara dijadual menentang India hari ini sebelum melengkapkan perlawanan bertemu Jepun pada 17 November ini.

Kumpulan B pula terdiri daripada Korea Selatan, Pakistan, Bangladesh dan Oman.

Tiga pasukan terbaik daripada kejohanan ini akan mengiringi India, selaku tuan rumah, ke Piala Dunia Remaja di New Delhi tahun depan.

-- BERNAMA

Berita Harian X