Khamis, 12 November 2015 | 12:23am

Bunga kertas lewatkan proses penuaan


BUNGA kertas atau nama saintifiknya, Bougainvillea spp adalah sejenis tumbuhan berbunga yang banyak ditanam sebagai tanaman hiasan di sekeliling rumah.

Kelopak bunganya yang mempunyai pelbagai warna, tahan lama dan mudah dijaga serta pokoknya yang mampu hidup untuk tempoh yang panjang dengan dikatakan melebihi 20 tahun, menyebabkan ia menjadi pilihan sebagai tanaman landskap.

Bahkan, tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan dan mampu menghasilkan bunga sepanjang tahun ini juga sesuai dijadikan tanaman bonsai.

Pokok bunga kertas memperoleh namanya daripada kelopak bunga yang nipis dan mempunyai ciri seperti kertas manakala nama Inggeris bunga ini iaitu Bougainvilla dinamakan sempena nama seorang Komander Laut Perancis, Louis Antoine de Bougainville.

Ada tiga spesies utama bunga kertas di Malaysia iaitu Bougainvillea glabra, Bougainvillea spectabilis dan Bougainvillea Mrs Butt.

Banyak kacukan sudah dilakukan daripada tiga spesies asal ini untuk menghasilkan pokok bunga kertas yang mempunyai pelbagai warna kelopak - sama ada kelopak selapis mahupun banyak lapis.


DR Vimala Subramaniam dan Shalini Markandan mengendalikan kajian terhadap bunga Bougainvillea. - Foto Shiraz Ali

Bagaimanapun, selain keindahan tanaman itu, kebanyakan kita tidak menyedari bahawa pokok bunga yang sering menjadi hiasan di sekeliling rumah itu turut mempunyai khasiat perubatan.

Tumbuhan ini dikatakan sudah lama digunakan oleh pengamal perubatan tradisional di Mexico sebagai ubat dalam penjagaan kesihatan berkaitan sistem pernafasan.

Maklumat ini mendorong sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) diketuai Pegawai Penyelidik Kanannya, Dr Vimala Subramaniam menjalankan kajian peringkat awal untuk mengesan kehadiran bahan antioksidan ke atas Bougainvillea glabra berkenaan.

Tambahan pula, kebelakangan ini, antioksidan semula jadi dikatakan sering mendapat sambutan dan perhatian saintis serta masyarakat seluruh dunia.

Antioksidan semula jadi daripada tumbuhan terbukti lebih baik, selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan yang menjejaskan kesihatan berbanding penggunaan antioksidan sintetik.

Vimala berkata, pihaknya berminat melakukan kajian ke atas pokok bunga kertas kerana bunga berkenaan senang tumbuh di Malaysia yang memudahkan mereka untuk mendapatkan sumber bahan mentah bagi menjalankan kajian.


EKSTRAK Bunga Kertas yang dihasilkan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). - Foto Shiraz Ali

Beliau berkata, kajian yang kali pertama diadakan di Malaysia ke atas ekstrak Bougainvillea glabra itu mendapati bunga berkenaan mempunyai aktiviti antipengoksidaan yang tinggi.

"Kajian awal mendapati ia berupaya untuk melawan, menghalang, menghapus dan menyingkir molekul radikal bebas dengan kadar melebihi 80 peratus dalam dua sistem ujian iaitu sistem penindasan superoksida xantin oksidase (XOD) dan radikal bebas 1,2-difenil-2-pikrilhidrazil (DPPH)," katanya.

Manusia tidak dapat lari daripada masalah radikal bebas kerana badan sentiasa menghasilkannya melalui proses metabolisme dan biokimia.

Ia adalah hasil produk badan sendiri selain terpaksa berdepan dengan masalah pencemaran alam sekitar. Radikal bebas jika terlalu banyak dalam badan boleh merosakkan organ, sakit sendi dan berlakunya simptom penuaan.

Apabila seseorang itu masih muda, badan berupaya menghasilkan enzim antioksidan tetapi sebaik sahaja seseorang itu berusia lebih 40 tahun, pengeluaran antioksidan akan berkurangan sehingga 40 dan 50 peratus.

Oleh itu, kita akan dapat melihat simptom penuaan apabila seseorang itu berusia lebih 40 tahun dengan pengurangan antioksidan dikatakan berlaku secara drastik.


SIMPTOM penuaan boleh dilihat apabila pengurangan antioksidan secara drastik. - Foto hiasan

Mereka yang berusia 50 dan 60 tahun dikatakan masing-masing akan mencatatkan 10 dan lima peratus dalam pengeluaran antioksidan dalam badan.

Ia menyebabkan orang ramai memerlukan makanan tambahan antioksidan untuk menangani masalah pengurangan bahan berkenaan sekali gus mampu melambatkan proses penuaan.

Vimala berkata, kajian dijalankan ke atas ekstrak Bougainvillea glabra juga mendapati tumbuhan itu mempunyai Keupayaan Menyerap Radikal Oksigen (ORAC) yang tinggi serta kaya dengan komponen kimia fenol, bahan semula jadi dalam tumbuhan yang menyumbang kepada aktiviti antioksidan.

"Kami juga menjalankan penilaian keselamatan dengan melakukan analisis sitotoksisiti, beban mikrob dan logam berat untuk memastikan ekstrak tumbuhan ini selamat digunakan.

"Hasil analisis toksisiti menggunakan sel hati dan ginjal mendapati ia selamat digunakan begitu juga dengan analisis menggunakan beban mikrob dan kandungan logam berat," katanya.

Vimala berkata, bahan antioksidan semula jadi dalam bunga kertas berupaya menghalang molekul radikal bebas serta mencegah kerosakan akibat daripada kesan oksidatif pada sel badan dengan mengimbangi dan menstabilkan keadaan tekanan oksidatif.


BAHAN antioksidan semula jadi dalam bunga kertas boleh melambatkan tanda awal penuaan dan menghindari risiko penyakit kronik degeneratif. - Foto hiasan

"Di samping itu, ia melambatkan tanda awal penuaan dan menghindari risiko penyakit kronik degeneratif.

"Oleh itu, ekstrak Bougainvillea glabra yang kaya dengan antioksidan semula jadi ini disyorkan sebagai makanan tambahan untuk memelihara kesihatan dan kesejahteraan," katanya.

Daripada hasil kajian yang memenangi pingat gangsa pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2012 itu, Vimala berkata, pihaknya menghasilkan sebanyak tiga produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang masih belum berada di pasaran.

"Ketiga-tiga produk protaip makanan tambahan berasaskan Bougainvillea yang berkhasiat antioksidan dihasilkan dengan kerjasama FRIM bersama Furley Bioextract Sdn Bhd ialah biskut untuk kanak-kanak Crimson Cookies, teh bunga Phantasy Floral Tea dan minuman bertenaga Torrential Verve Energy Booster.

"Bagaimanapun, setakat ini, hanya biskut kanak-kanak Crimson Cookies yang kini dalam perbincangan untuk dikomersialkan," katanya.

Berita Harian X