Khamis, 12 November 2015 | 12:19am

Wanita mesti patuh jika suami arah berhenti kerja

SOALAN: Suami mengarahkan saya berhenti daripada bekerja atas alasan dia mampu untuk memberi nafkah kepada kami sekeluarga. Masalahnya, saya suka bekerja dan menyimpan duit hasil titik peluh sendiri. Boleh ustaz berikan pandangan?


TIDAK rugi mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana Nabi SAW sudah menjanjikan syurga bagi isteri yang mentaati suami dalam ketaatan kepada Allah SWT. - Foto hiasan

JAWAPAN: Puan sepatutnya bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab dan berkemampuan. Sebenarnya, ramai wanita di luar sana mengharapkan suami yang mampu menanggung segala keperluan keluarga. Tidak cukup sekadar itu, mereka juga mengharapkan suami mereka membuat permintaan seperti suami puan.

Namun, disebabkan bebanan hidup yang tinggi dari segala aspek kehidupan menyebabkan mereka terpaksa bekerja bagi membantu kewangan suami.

Sehubungan itu, ustaz menasihatkan supaya puan menyambut baik arahan suami itu tanpa berbelah bagi.

Janji syurga

Tidak rugi puan mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana Nabi SAW sudah menjanjikan syurga bagi isteri yang mentaati suami dalam ketaatan kepada Allah SWT.

Sabda Nabi SAW: "Jika seorang isteri menunaikan solat lima waktu, memelihara kemaluannya daripada zina, berpuasa pada bulan Ramadan dan mentaati suaminya, maka akan dimaklumkan kepadanya (di akhirat kelak) masuklah kamu ke dalam syurga menerusi pintu yang kamu inginkan." (Riwayat Ahmad)

Ulama sudah menetapkan beberapa hukum untuk wanita bekerja iaitu harus bagi wanita bekerja dengan syarat untuk membantu kewangan suami, mendapat keizinan suami, pekerjaan itu sesuai untuk wanita Muslimah dan bukan pekerjaan yang membawa kepada maksiat.

Haram wanita bekerja jika tidak mendapat keizinan suami, membawa kepada maksiat, pekerjaan itu tidak sesuai untuk wanita Muslimah dan tidak selamat daripada fitnah.

Berita Harian X