Selasa, 10 November 2015 | 3:41pm

Barisan pimpinan baharu tanda anjakan paradigma dalam MIC


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbual seketika dengan Ahli Jawatankuasa Pusat MIC, P Kamalanathan sambil diperhatikan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan Kuil Batu Caves, Gombak. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Barisan kepemimpinan baharu MIC menandakan satu anjakan paradigma penting untuk parti bergerak ke hadapan, kata Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau juga berharap barisan kepemimpinan baharu pimpinannya itu akan mampu mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap MIC.

Katanya kemasukan ramai pemuda berpendidikan tinggi sebagai anggota baharu MIC juga memberi suntikan baharu kepada parti berusia 69 tahun itu.

"Saya berharap masyarakat India akan melihat (perubahan dalam barisan kepemimpinan) sebagai satu tanda positif dan beri sokongan supaya kami boleh lakukan lebih banyak lagi untuk masyarakat India," katanya pada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Batu Caves di sini, hari ini.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata MIC terus komited untuk melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Katanya fokus akan diberikan kepada aspek pendidikan dan sosial serta peningkatan ekonomi.

Rumah Terbuka Deepavali MIC itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia adalah sambutan rumah terbuka MIC pertama Dr Subramaniam selaku presiden parti.

Pemilihan semula parti itu pada 6 November lalu turut menyaksikan Datuk Seri S.K. Devamany dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Datuk T. Mohan, Datuk S.A. Vigneswaran dan Datuk Jaspal Singh dipilih sebagai Naib Presiden.

Kira-kira 10,000 hadir pada majlis rumah terbuka MIC itu.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan. - BERNAMA

Berita Harian X