Selasa, 10 November 2015 | 12:11pm

PM, isteri sertai rakyat meriahkan sambutan Deepavali


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melambai ketika meninggalkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan Kuil Batu Caves, Gombak. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyertai ribuan rakyat Malaysia pelbagai kaum memeriahkan sambutan perayaan Deepavali.

Najib dan isteri memulakan lawatan rumah terbuka Deepavali dengan menghadiri majlis anjuran MIC di pekarangan tapak pelancongan terkenal, Batu Caves, di sini.

Perdana Menteri yang segak berbaju kurta disambut oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, serta barisan kepimpinan MIC yang lain.

Tetamu kemudian disajikan dengan pelbagai persembahan serta makanan tradisional kaum India seperti aloo gobi, inji puli, vadai dan prathaman.

Najib yang meluangkan masa 30 minit pada majlis itu turut dikalungkan bunga malai dan memotong kek sebagai simbolik meraikan sambutan Pesta Cahaya.

- BERNAMA

Berita Harian X