Selasa, 10 November 2015 | 12:09am
PRESIDEN Badan Bahasa dan Sastera Sabah dan Penerima Sea Write Award 2015, Jasni Matlani menunjukkan buku hasil penulisannya di Seminar Sastera Sabah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. - Foto Surianie Mohd Hanif

Benarkah sastera Sabah terpinggir?


SELEPAS 58 tahun merdeka, mengapa belum ada pengarang dari Malaysia Timur khususnya Sabah yang diangkat sebagai Sasterawan Negara (SN)? Apakah karya pengarang Negeri Di Bawah Bayu itu tidak cukup bermutu atau sebenarnya sastera negeri berkenaan tersisih daripada arus perkembangan sastera kebangsaan?

Apakah mungkin merit yang diberikan dalam penilaian pengiktirafan berprestij seperti Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) dan Anugerah Sastera Negara (ASN) kepada penerbitan yang bersifat kenegerian atau dalam skala yang kecil adalah sangat rendah?

Persoalan sama turut dilontarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak ketika merasmikan Seminar Sastera Sabah yang berlangsung di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, minggu lalu.

Seminar anjuran bersama APM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) itu, antara lain membincangkan karya pelbagai genre tulisan pengarang kelahiran Sabah.

Salleh dalam ucapannya melahirkan keinginan untuk melihat pengarang dari Sabah atau Sarawak terpilih sebagai SN pada masa akan datang.

PENERIMA SEA Write 1992, Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya).

Belum upaya lahirkan SN

"Kita juga tertanya-tanya apakah selepas 50 tahun merdeka dalam Persekutuan Malaysia, kedua-dua negeri yang besar ini belum lagi berkeupayaan melahirkan seorang pun penulis bertaraf SN," katanya.

Sabah diakui mempunyai barisan pengarang yang bukan calang-calang sejak dulu hingga kini. Penerima SEA Write 1992, Datuk Ismail Abbas (Amil Jaya) umpamanya sangat disegani bukan hanya di negeri itu, bahkan dalam konteks kebangsaan.

Malah pada akhir bulan lalu, Jasni Matlani dinobatkan sebagai penerima SEA Write 2015 sementara barisan pengarang mudanya seperti Ruhaini Matdarin, Dayangku Mastura, Rita Robert Rawantas, Faridah Abd Hamid, Ramzah Dambul, Juri Durabi, Katharina Tati Sitaim dan Siti Rahmah Abdul Ghafar adalah antara nama yang biasa ditemui dalam peta sastera kebangsaan.

Mengulas persoalan itu, Yang diPertua BAHASA, Jasni Matlani dengan nada diplomasi menyifatkan sastera Sabah tidak terpinggir tetapi memerlukan pendedahan yang lebih luas pada peringkat kebangsaan.

Karya sastera, kata Jasni, memerlukan kritikan untuk memastikan ia berkembang tetapi tidak ramai sarjana atau pembaca yang mengetahui tentang sastera Sabah.

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (kiri) berucap pada Seminar Sastera Sabah 2015 di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Bincang karya Sabah di ibu kota

"Apabila kita membincangkan karya penulis Sabah di Kuala Lumpur, ia berupaya menarik minat lebih ramai pengkaji, pengkritik dan peminat sastera.

"Hal ini membantu bukan saja perkembangan sastera Sabah, bahkan dapat mengangkat dan memperluaskan sastera kebangsaan," katanya.

Tegasnya, sastera Sabah berkembang dengan pesat sejak 10 tahun kebelakangan ini yang menyaksikan gelombang penulis kelahiran Sabah yang menghasilkan karya setanding dengan penulis lain dalam ranah sastera kebangsaan.

"Malah penulis Sabah turut mengungguli pelbagai sayembara dan pengiktirafan sastera berprestij misalnya Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) serta Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU).

"Penulis Sabah perlu lebih gigih berkarya dan berusaha untuk menempatkan diri dalam sastera kebangsaan serta jangan hanya menjadi jaguh kampung.

"Dalam soal pengiktirafan, kriteria yang dilihat ialah kualiti karya dan sumbangan pengarang itu dalam perkembangan sastera, manakala kaedah pemilihan SEA Write serta ASN sedia ada sudah baik," katanya.

DARI kiri, Ketua Bahagian Sastera Pelbagai Kaum, DBP, A Wahab Hamzah, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, Hamzah Hamdani dan Editor Kanan DBP, Jaafar Hamdan pada Seminar Sastera Sabah 2015 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. - Foto Munira Abdul Ghani

Mantapkan karya Sabah

Sementara itu, mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Hamzah Hamdani, berkata Sabah melahirkan ramai penulis mapan dan berbakat besar yang berjaya mencipta nama pada peringkat kebangsaan seperti Amil Jaya, Azmah Nordin dan Jasni yang tergolong dalam pengarang mapan, selain barisan penulis muda dengan deretan karya hebat.

"Untuk menyebut sastera Sabah terpinggir tidak tepat, sebaliknya apa yang diperlukan adalah usaha memantapkan karya seperti penganjuran Seminar Sastera Sabah ini.

"Karya sastera patut dipromosikan secara bersungguh-sungguh. Dalam pemilihan tokoh untuk SN atau SEA Write pun ia perlu membabitkan pengarang yang dikenali dan karya berkualiti.

"Penggiat persatuan penulis lain di negara ini sepatutnya mengambil contoh yang dibuat di Sabah dalam mempromosikan dan mengembangkan sasteranya," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, tanggapan sastera Sabah terpinggir ialah sentimen negatif yang perlu diperbetulkan.

Bandingkan Sabah, negeri lain

"Jika kejayaan sastera Sabah itu dilihat dari ukuran tokoh yang diangkat dari negerinya, berapa ramai tokoh sastera dari negeri lain misalnya dari Terengganu?"

Tegasnya, dalam isu sebegini yang diangkat ialah karyanya bukan negeri kelahiran pengarang.

"Satu ketika dulu, penerbitan karya sastera Malaysia ditangani oleh DBP saja tetapi sejak 10 tahun lalu, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) turut terbabit dalam percetakan buku sastera yang menyaksikan lebih ramai pengarang tampil dengan karya yang baik.

"Kalau cakap dengan sentimen, kita akan bercakap hal yang dangkal dan berdasarkan apa yang kita tahu saja. Tanggapan sastera Sabah terpinggir itu adalah pandangan yang tidak tepat," katanya.

Berita Harian X