Isnin, 9 November 2015 | 5:29pm

Ogy, Erma Fatima kembali bergabung


ERMA Fatima dan Ogy Ahmad Daud.

KUALA LUMPUR: Sejarah bakal berulang untuk menyaksikan gabungan Erma Fatima dan Ogy Ahmad Daud sekali lagi di pentas lakonan menerusi teater Mak Cun.

Kali terakhir kedua pelakon hebat ini berganding dalam telefilem Pengantin Popular disiarkan di stesen televisyen TV3.

Pengumuman Ogy yang akan memegang watak Chombi di dalam teater Mak Cun itu dilakukan sendiri oleh Erma di Restoran Podium by Daun, Plaza Damas, sebentar tadi.

Erma turut bertindak sebagai pengarah selain memikul tanggungjawab sebagai penerbit teater berkenaan.

"Alhamdulillah akhirnya beliau bersetuju untuk berlakon sama. Minggu lalu, dia menyatakan persetujuan ini.

"Selepas beberapa tahun tidak berlakon dengannya, saya yakin gandingan ini pasti dirindui dan dinanti nantikan.

"Ikutkan sejak TV3 meminta untuk menerbitkan Mak Cun bagi musim kedua lagi, saya memang sudah nampak bayangan Ogy untuk watak itu. Jadi teater ini umpama permulaan atau teaser terbaik untuk itu," kata Erma.

Ogy pula berkata, selepas tiga hari meneliti dan membaca skrip teater Mak Cun baharu dia membuat keputusan untuk turut serta berlakon.

"Saya bersetuju untuk berlakon sama tetapi dengan beberapa syarat. Syarat itu diterima Erma.

"Ikutkan saya memang rindu nak berlakon di pentas teater kerana sudah lama tak beraksi. Kali terakhir saya berlakon teater ialah pada 2004.

"Saya rindu untuk merasai suasana, silaturahim, disiplin dan budaya kerja di pentas teater.

"Saya harap gandingan kali ini juga mampu mencipta fenomena seperti mana telefilem Pengantin Popular suatu ketika dahulu. Malah di abad 21 ini pun fenomena itu masih berbekas," kata Ogy.

Ditanya mengenai syarat yang ditetapkannya itu, Ogy antara lain menolak untuk menyanyi.

"Erma memang suruh saya menyanyi untuk teater itu. Tapi saya tak mahu ambil risiko untuk itu. Memang lagu sudah disiapkan untuk saya tetapi masa sudah suntuk. Selain itu saya juga terikat dengan komitmen di Pencetus Ummah.

"Jadi saya hanya tidak akan muncul di pentas Mak Cun pada 19 November. Mujur Emma sedia berkompromi," katanya.

Teater ini turut dibintangi Nora Danish, Datin Umie Aida, Ungku Ismail, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Dafi Ismail dan Betty Rahmad.

Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 hingga 22 November hadapan. Tiket dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156.

Tiket boleh dibeli dengan melayari www.redtix.airasia.com.

Berita Harian X