Ahad, 8 November 2015 | 12:02am
MEMPERJUANGKAN tarian tradisional bersama suami. - Foto Khalid Latip
MENGABDIKAN kenangan bersama rakan seperjuangan dalam Pesta Pakan. - Foto Khalid Latip

Suami isteri gigih pertahankan kesenian tradisi Sarawak


TARIAN etnik berjaya menarik minat penyertaan generasi muda. - Foto Khalid Latip

TARIAN tradisional berkonsepkan kesenian etnik sememangnya istimewa, terutama dengan dengan menampilkan pelbagai nilai murni turut seperti saling menghormati, semangat tolak ansur dan bekerjasama, selain menyanjung tinggi warisan tradisi.

Kelebihan Sarawak yang dihuni banyak etnik dan kaum secara tidak langsung mewujudkan pelbagai gerak tari menarik, kaya dengan pelbagai perlambangan adat serta budaya unik.

Ia bukanlah tarian semata-mata, sebaliknya turut berperanan sebagai tunjang kekuatan penonjolan identiti negara yang mampu menyemai pelbagai unsur positif dalam kalangan generasi muda.

Menjunjung tinggi tarian tradisi, Nor Malirozie Maliki, 39, bersama Awang Masromizan Awang Jemat, 32, sanggup berkorban dalam 'perjuangan' mereka menghidupkan kembali kemasyhuran seni budaya yang semakin dilupakan itu.

Bagi pasangan suami isteri ini, seni tradisi itu wajar dijaga bagi memastikan ia kekal untuk diwarisi generasi masa depan agar mengenali budaya mereka.

"Pengorbanan ini walaupun memerlukan bukan sedikit usaha, ia membuat kami bahagia. Mungkin ada yang melihat tarian tradisional tidak lebih daripada hiburan semata-mata, namun saya menganggap usaha pemuliharaan perlu dilakukan terhadap tarian etnik kerana nilainya cukup tinggi.

"Sebenarnya, kesenian tradisi ini mempunyai cerita dan sejarah tersendiri yang bergerak seiring dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi," kata Nor Malirozie.


NOR Malirozie dan suami, Awang Masromizan mempunyai minat yang sama. - Foto Khalid Latip

Tumpukan tarian etnik

Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai kebudayaan di Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak (KPSS) Cawangan Sarikei berkata, minatnya dalam seni tarian bukan sahaja bermula sejak zaman kanak-kanak, malah pernah mendapat bimbingan aktivis seni terkenal Bumi Kenyalang, Allahyarham Isar Yahod.

Nor Malirozie turut menganggap dirinya bertuah kerana kerana berpeluang menimba ilmu daripada beberapa nama besar, termasuk ikon seni negeri ini seperti Sharkawi Amit, Zamuddin Mat dan Rahamah Ekbar sebaik sahaja berkhidmat di kementerian terbabit.

"Suami pula mula bergiat aktif dalam aktiviti kesenian sejak 15 tahun lalu. Bagi saya, suami insan cukup istimewa kerana bukan sahaja memahami, bahkan turut mendukung perjuangan seni saya juga mendokong perjuangan saya.

"Sebelum ini, kami pernah mewakili Sarawak ke Citrawarna Malaysia bersama penari Bahagian Kebudayaan KPSS, selain menyertai Festival Tarian Malaysia bersama Kumpulan Gabungan Anak Seni Sarikei pada 2002.

"Hingga kini, kami terus melangkah seiring dan terus aktif dengan memberi fokus kepada perjuangan tarian etnik Bumi Kenyalang. Selain itu, kami juga cenderung untuk berkongsi ilmu kepada anak muda.," katanya.


MENGABDIKAN kenangan bersama rakan seperjuangan dalam pesta Pakan. - Foto Khalid Latip

Tiada rasa jemu

Jelas Nor Malirozie, beliau tidak pernah berasa jemu atau mahu 'berehat' dari meneruskan seni yang amat dicintainya itu.

Menurutnya, setiap gerakan dan langkah yang terdapat dalam tarian tradisi itu mengandungi mesej yang cukup indah di samping menyemai nilai ketimuran dalam diri anak muda.

Justeru, usaha berterusan perlu dilakukan dalam membuahkan rasa kecintaan golongan terbabit untuk mempelajari dan mengenali khazanah warisan berkenaan.

"Sarawak memiliki ramai penari yang berbakat besar dan kebanyakan mereka pernah meraih pencapaian cemerlang dalam bidang berkenaan.

"Kesungguhan mempertahankan kegemilangan tarian ini harus disokong oleh banyak pihak terutama dari segi lokasi dan dana," katanya.


TARIAN etnik berjaya menarik minat penyertaan generasi muda. - Foto Khalid Latip

Pada masa sama, katanya, teknik dan penjiwaan amat penting dalam proses mempersembahkan sesuatu tarian.

"Ia sememangnya bukan mudah tetapi tidak mustahil untuk dikuasai jika bersungguh-sungguh.

"Malah, program seni juga boleh menjadi platform mengetengahkan tarian-tarian tradisional yang belum dikenali ramai bagi memastikannya tidak pupus ditelan zaman," katanya.

Bagi Nor Malirozie yang pernah dipilih sebagai ikon budaya di bawah Komuniti 1Malaysia Kampung Seberang, inisiatif itu penting bagi memastikan warisan tradisi itu terus 'malar segar' dalam menempuh arus kemajuan negara.

Berita Harian X