Ahad, 8 November 2015 | 12:01am
TERUNG asam.
PEKERJA memeriksa ais krim yang dihasilkan di kilang See Lian Huat Ice Cream.
PEKERJA sedang membungkus ais krim yang dihasilkan.

Ais krim buah dabai, terung dayak 'nyaman'



DI Sarawak, buah dabai atau terung asam cukup dikenali sebagai ulam-ulaman. Namun tidak ramai menyangka ia berpotensi besar dalam industri makanan, termasuk digunakan dalam penghasilan aiskrim.

Dabai atau nama saintifiknya, Canarium odontophyllum dan terung asam (Solanum macrocarpon), lebih dikenali sebagai terung dayak dalam kalangan masyarakat tempatan. Ia adalah buah-buahan bermusim yang hanya boleh diperoleh di Sarawak.

Bagi mereka khususnya pelancong atau pelawat dari Semenanjung, tentu ada yang tertanya-tanya mengenai keistimewaan buah dabai. Malah ramai pelancong luar yang terpinga-pinga cara untuk makan buah ini.

Keunikan buah-buahan itu memberikan satu kelebihan untuk dimajukan dalam bentuk pelbagai produk makanan, khususnya aiskrim kerana menawarkan rasa eksotik.

Bagi Pengarah See Lian Huat Ice Cream, Patrick See, dalam industri aiskrim, apa sahaja bahan boleh digunakan bagi penghasilan hidangan pemanis mulut kegemaran ramai itu asalkan ia mempunyai perisa sesuai.

"Dalam kalangan penduduk setempat, dabai dan terung asam dimakan sebagai ulam atau untuk masakan asam pedas. Tidak pernah di fikiran saya untuk menjadikan buah-buahan itu sebagai perisa aiskrim, malah saya rasa pelik untuk melakukannya pada peringkat awal.

"Apabila program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan Jabatan Pertanian Sarawak melalui Pusat Penyelidikan Pertanian (ARC) menunjukkan hasil sebaliknya. Ini sekali gus membuktikan potensi besar aiskrim dabai dan terung asam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Perindustrian Demak Laut, Kuching.


BUAH dabai.

Jalinkan kerjasama menerusi MOU

Menerusi program R&D, dabai dan terung asam kaya dengan bahan antioksidan dan pelbagai zat, termasuk vitamin C.

Bagaimanapun, ia memerlukan penyelidikan terperinci, termasuk proses membangunkan formula tertentu bertujuan menambah baik rasanya.

"Usaha kami ini bermula dua tahun lalu melalui percubaan membuat krim asas bagi memastikan ia menepati rasa dan perisa bersesuaian.

"Kita mengambil masa setahun untuk membangunkan formula penghasilannya mengikut kesesuaian kedua-dua buah eksotik itu agar ia menepati cita rasa penggemar aiskrim.

"Dari semasa ke semasa, formula (resipi) sentiasa ditambah baik bagi menghasilkan rasa aiskrim yang berkualiti," katanya.

Patrick berkata, pembuatan aiskrim berkenaan menggunakan sepenuhnya puri asli dabai dan terung asam yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak.

Beliau berkata, melalui kerjasama yang dijalinkan bersama ARC, kedua-dua pihak memainkan peranan penting bagi memajukan dabai dan terung asam, bukan sahaja dalam bentuk aiskrim, malah, promosi secara keseluruhan buah-buahan eksotik berkenaan.

Satu memorandum persefahaman (Mou) ditandatangani Jabatan Pertanian Sarawak dan See Lian Huat Ice Cream pada 17 September lalu bagi membangun dan memajukan aiskrim berkenaan.


PATRICK See menunjukkan kelengkapan membuat ais krim di kilangnya di Taman Perindustrian Demak Laut, Kuching.

Sasarkan pelancong

Patrick berkata, projek usaha sama itu dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan petani melalui bekalan berterusan kepada syarikat kendaliannya selaku pengeluar aiskrim terbabit kerana ia akan sentiasa berada di pasaran.

Beliau menyasarkan pelanggan aiskrim kedua-dua perisa itu boleh diterima pelancong dari dalam dan luar negara agar mereka dapat didedahkan dengan produk yang menjadi ikon Sarawak di peringkat global.

"Kita mahu ia dijual di lokasi strategik dan kawasan tumpuan pelancong, termasuk di semua lapangan terbang di seluruh negeri dan kedai cenderamata, selain Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Santubong bagi mempromosikan aiskrim berkenaan," katanya.

Ketika ini, aiskrim dabai dibawakan dengan tiga perisa iaitu asli, vanila dan pan, manakala terung asam pula dalam dua variasi iaitu terung asam lollis dan split terung asam.

Dijual pada harga RM1.40 untuk aiskrim terung asam dan RM1.80 untuk aiskrim dabai, kedua-duanya boleh didapati di semua rangkaian pasaraya E-Mart sejak ia dilancarkan baru-baru ini di bawah jenama Mayhua Ice Cream.


ANTARA ais krim keluaran Lian Huat Ice Cream.

Bertahan lebih separuh abad

Lebih separuh abad beroperasi, Patrick See sememangnya berbangga kerana keupayaannya meneruskan legasi perniagaan aiskrim keluarganya yang diasaskan oleh datuk dan bapanya.

Mula diasaskan pada tahun 1960-an, See Lian Huat Ice Cream yang dikenali dengan jenama Mayhua Ice Cream sudah memiliki lebih 20 produk aiskrim menampilkan pelbagai perisa.

Patrick berkata, walaupun operasi syarikat itu hanya bertumpu kepada pasaran domestik, khususnya di Sarawak, namun ia tidak menghalang hasratnya untuk terus mengembangkan perusahaannya ke tahap lebih tinggi, terutama dalam mempromosikan aiskrim buatan tempatan.

"Kita sudah ada rangkaian pengedar di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Peranan pengedar penting untuk memastikan pelanggan di seluruh negeri ini dapat menikmatinya, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar," katanya.

Kesukaran bagi memenuhi spesifikasi yang ketat ditetapkan terhadap produk makanan bagi dipromosikan ke peringkat global menyebabkan syarikat diusahakan keluarganya belum bersedia menembusi pasaran eksport buat masa sekarang.

Beliau berkata, pengeluaran aiskrim yang terhad menyebabkan ia sukar untuk dibawa ke pasaran global.

"Saya mahu pengeluaran aiskrim ini dikembangkan terlebih dahulu agar ia berjaya seperti jenama lain yang sudah terkenal," katanya.

Di sebalik semua kekangan itu, Patrick turut menyatakan hasrat bekerjasama dengan agensi berkaitan, khususnya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam usaha memperluaskan pasaran aiskrim keluaran syarikatnya itu, sekali gus membuktikan keupayaan produk tempatan menembusi pasaran global.

Berita Harian X