Sabtu, 7 November 2015 | 11:13am

Sijil Peperiksaan Bersepadu tidak diiktiraf memasuki universiti awam


TIMBALAN Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching. - Foto Nurul Shafina Jemenon

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi kekal dengan keputusan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke universiti awam.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata antara rasional UEC tidak diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke universiti awam termasuk sijil itu tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.

"Selain itu, Bahasa Melayu dalam UEC tidak setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam kurikulum UEC adalah tidak mencukupi.

"Syarat am kelayakan masuk universiti awam hendaklah lulus SPM dengan kepujian dalam Bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan UEC bagi diterima pakai kelayakan masuk ke universiti awam sekiranya pindaan terhadap kandungan kurikulum UEC dibuat agar selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

UEC adalah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (MICSS) dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Berita Harian X