Sabtu, 7 November 2015 | 12:03am

Penangan pisang goreng keju


Pisang Goreng Keju di Hotel Novotel, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PISANG goreng panas sememangnya digemari ramai, khususnya sebagai juadah minum petang. Kini pisang goreng ditransformasikan mengikut cita rasa golongan muda menerusi penghasilan pisang goreng keju, taburan coklat dan manisan lain.

Mungkin awal hidangan itu agak janggal bagi sesetengah orang, namun pisang goreng keju menjadi fenomena hinggakan ramai ingin mencuba menggorengnya sendiri.

Kebiasaan hidangan ini disediakan dengan hirisan keju ditabur bersama gula merah atau coklat yang dicairkan ke atas pisang goreng pisang panas.

Lelehan ramuan memberikan rasa berbeza ditambah dengan pisang goreng rangup, membuatkan kita ketagih menikmatinya. Sudah tentu disediakan sendiri lebih berjimat berbanding membelinya di gerai.

Kali ini Aroma Kulinari berkongsi resipi, pisang keju istimewa air tangan Cef Eksekutif Hotel Novotel Kuala Lumpur City Centre, Huzaidy Samson.

Resipi ini mudah, ringkas dan memenuhi selera sesiapa saja, sekali gus menjadi kegemaran ramai untuk dicuba sebagai menu minum petang.


BAHAN-bahan untuk membuat pisang goreng keju. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bahan-bahan

3 biji pisang

80 gram (g) serbuk roti

30g tepung gandum

1 biji telur

30 gm keju Parmesan

15g strawberi

15g buah kiwi

30 mililiter (ml) sos coklat

Sedikit minyak masak

Cara penyediaannya:

1. Buang kulit pisang dan potong kepada dua bahagian.

2. Pecahkan telur bersama adunan tepung dan serbuk ke dalam mangkuk.

3. Celupkan pisang ke dalam adunan tepung yang sudah sebati dengan telur.

4. Bagi hasil yang lebih baik, masukkan pisang yang bersalut tepung ke dalam peti sejuk lebih kurang setengah jam.

5. Panaskan minyak, gorengkan pisang hingga kuning keemasan.

6. Potongkan pisang itu kepada dua bahagian dan masukkan dalam pinggan.

7. Hiaskan dengan buah-buahan lain yang sudah dipotong terlebih dahulu.

8. Akhir sekali, tuangkan cairan coklat dan taburan keju parmesan. Sedia dihidangkan.

Berita Harian X