Khamis, 5 November 2015 | 10:39pm

Pusat beli-belah nafi cubaan culik selebriti


Pengurus The Curve, Jazmi Kamarudin. Gambar kecil, Zahirah MacWilson yang mendakwa dirinya terbabit dalam percubaan menculik di premis beli-belah The Curve.

KUALA LUMPUR: Pengurusan pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, menafikan berlaku cubaan menculik selebriti, Zahirah MacWilson di premis perniagaan itu seperti didakwa pelakon terbabit, petang semalam.

Pengurus The Curve, Jazmi Kamarudin, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan malah rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) yang diteliti tidak menunjukkan bukti berlakunya insiden cubaan menculik.

"Dakwaan pengunjung terbabit mengenai cubaan jenayah seperti itu adalah sesuatu yang sangat serius. Kami mengambil perhatian terhadap isu yang sudah menjadi viral di laman sosial.

"Namun, selepas meneliti rakaman CCTV berdasarkan hari serta masa yang dikatakan berlakunya kejadian, kami tidak menemui petunjuk yang menyokong dakwaan itu.

"Setakat ini, kami mendapati tiada laporan polis mahupun kepada kami yang dibuat oleh mangsa. Apa yang kami tahu, pihak berkaitan yang masih kami cuba mendapatkan penjelasan lanjut sudah memberi kenyataan lain," katanya kepada BH Online.

Jazmi berkata, pihaknya difahamkan individu terbabit memuat naik kenyataan baharu di laman sosial Instagram yang menyatakan insiden berkenaan berlaku di perkarangan The Curve, bukannya di tempat letak kereta pusat beli-belah itu.

"Kita akan tetap membantunya walau di luar premis kami," katanya.

Sementara itu, Zahirah ketika dihubungi BH Online berkata, insiden menakutkan itu berlaku di perkarangan premis The Curve, bukannya di tempat letak kereta aras bawah.

"Saya masih trauma. Kejadian itu berlaku dengan pantas," katanya,

Zahirah mendakwa beliau sudah berjumpa pengurusan The Curve dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Namun, beliau enggan mendedahkan lokasi balai polis terbabit.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Mohd Ali Thamby berkata, pihaknya hanya mendapat tahu mengenai kes membabitkan Zahirah itu daripada laman sosial.

Mohd Ali mengesahkan setakat ini, polis belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Kes cubaan menculik Zahirah menjadi viral di laman sosial apabila teman lelakinya, Zul Ariffin memuat naik status di laman Twitter sejam selepas insiden itu dengan menasihatkan wanita supaya menjaga keselamatan.

Berita Harian X