Selasa, 3 November 2015 | 7:48am

Jasa Khaled perkasa pendidikan tinggi diiktiraf


CANSELOR UTM, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menyampaikan ijazah kehormat Doktor Pengurusan kepada Khaled di Majlis Konvokesyen Ke-55. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

PENGANUGERAHAN ijazah kehormat Doktor Pengurusan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena Majlis Konvokesyen Ke-55 amat signifikan dan tepat pada masanya apatah lagi mengenang jasa dan pencapaian cemerlangnya sebagai Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada 1 April 2008 hingga 2013 meletakkan pendidikan tinggi pada asas kukuh.

Peluang mengenali Khaled sepanjang menerajui Kementerian Pengajian Tinggi apatah lagi setelah Universiti Sains Malaysia (USM) dipilih untuk menjalani Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) pada September 2008 menunjukkan betapa beliau berfikiran jauh, terbuka, lembut tetapi tegas dalam tindakannya.

Banyak jasa Khaled dalam pengajian tinggi negara terutamanya apabila melihatnya dalam konteks Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) yang mempunyai begitu banyak hasrat murni yang ingin dicapai dalam meletakkan universiti dan pendidikan tinggi sebagai antara terbaik di dunia.

Berkunjung ke universiti

Beliau melihat sendiri dari dekat setiap perkembangan termasuk memastikan universiti negara ini mencapai maksud sebenar yang dihasratkan demi untuk faedah dalam proses pembinaan negara bangsa, masyarakat dan komuniti seluruhnya tanpa mengetepikan usaha untuk meletakkan nama universiti kita di pentas dunia.

Khaled yang sentiasa berkunjung ke universiti dan menemui seluruh komuniti dan warganya termasuk pelajar, mendengar keluhan akademia, memperkukuh kedudukan Universiti Penyelidikan, memperkasa Anugerah Akademik Negara sebagai pengiktirafan tertinggi negara terhadap ahli akademik, memulakan usaha memberikan autonomi kepada universiti dan memaknakan maksud Menara Ilmu menggantikan konsep menara gading dalam mendekatkan universiti dan ahli akademik dengan masyarakat.

Idea kelestarian yang dibawa USM dalam memacu kecemerlangan universiti diterimanya dengan baik dan percaya universiti mampu melakukan perubahan dalam jangka panjang dengan menyediakan ekosistem akademik yang dapat menuju kepada kecemerlangan.

Beliau percaya kepada perubahan dan transformasi, peranan universiti melangkaui usaha melahirkan siswazah berdaya saing tinggi untuk memasuki dunia pekerjaan tetapi juga menjadi tempat untuk membangunkan nilai kemanusiaan tinggi dalam memartabatkan Sains dan Teknologi tanpa mengetepikan usaha pembangunan sahsiah, keinsanan, seni dan budaya,

Perlu diperkasa

"Saya melihat bidang kemanusiaan yang ditawarkan di universiti seperti pendidikan, bahasa, psikologi, muzik mahu pun sains sosial yang meliputi sejarah mesti diperjuangkan kelestariannya kerana bidang inilah yang akan membina jati diri dan keampuhan bangsa kita," kata Khaled dalam rencananya di akhbar BH, 10 Januari 2010.

Beliau percaya kepemimpinan universiti perlu diperkasakan dengan autonomi dan sokongan dana serta ahli akademik yang dapat bergerak dalam iklim dan persekitaran segar yang terbuka luas dengan penubuhan Majlis Profesor Negara yang ditubuhkan dan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2010 diharapkan berfungsi sebagai institusi komuniti ilmuwan terunggul dan sebagai badan pemikir negara.

Majlis Profesor Negara dengan lebih 1,400 cendekiawan pada masa itu diharap menjadi satu landasan utama ahli akademik dalam memanfaatkan ilmu dan pemikiran untuk masyarakat dan negara seperti kata Perdana Menteri ketika melancarkannya sebagai wadah membina golongan Murabbi dalam konteks universiti moden yang semakin luas dan mencabar, yang merujuk kepada tenaga pendidik yang bukan hanya mengajarkan sesuatu ilmu tetapi juga membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.

Pengajian tinggi mahu pun pendidikan tinggi terus bergerak dalam memenuhi keperluan masa depan negara terutamanya dalam konteks perjuangan mahasiswa.

Pada zaman Khaled juga, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), 1971 dipinda dengan memberi ruang kebebasan lebih besar kepda anak muda di universiti untuk mencabar bakat dan potensi diri bagi menyumbang dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Penulis ialah Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam, Universiti Sains Malaysia

Berita Harian X