Sabtu, 31 Oktober 2015 | 12:05am
PELAKON, Faizal Hussein bersama rakan seperjuangan Zamarul Hisham. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Faizal Hussein kebal godaan


LUMRAH status selebriti yang disandang menarik minat ramai gadis untuk mendekati aktor tinggi lampai, Faizal Hussein.

Selain berbonuskan ketinggian yang dicemburui oleh ramai lelaki, Faizal juga memiliki aura dan pesona tersendiri sekali gus membezakan beliau dengan selebriti lelaki yang ada di negara ini.

Namun, jejaka berusia 47 tahun itu tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan statusnya sebagai seorang pelakon untuk mendekati gadis yang seperti ingin 'menyerah diri' kepadanya.

Pelakon filem Bunohan itu enggan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh isterinya, Suhaila Sulaiman. Faizal berkata, beliau berhati-hati dengan tindak tanduk supaya tidak memberikan impak negatif kepada bahtera perkahwinan yang dibina selama 12 tahun.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu senang meminta izin isteri dahulu dalam banyak perkara. Bagi Faizal, lebih mudah menerangkan kepada isterinya terlebih dahulu bagi mengelakkan salah faham dan tidak mahu membelakangkan isterinya dalam setiap langkah yang diambil.


FAIZAL memiliki aura dan pesona tersendiri sekali gus membezakan beliau dengan selebriti lelaki yang ada di negara ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Memang saya ada tanyakan kepada isteri saya dahulu, saya jelaskan kisah yang akan saya lakonkan dan watak yang dipegang kerana menghormatinya.

"Kebiasaannya isteri saya tidak mempunyai masalah dengan gandingan saya. Pastinya dia kenal dengan suaminya. Cuma saya fikir memang dalam hal begini lebih baik saya tanya isteri dahulu sebab tidak mahu membelakangkan dia.

"Tidak dinafikan godaan itu ada di mana-mana saja, namun setakat ini saya masih kuat menepis perkara yang mendorong kepada perkara begitu.

"Saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi dan menambah cawangan menjadi dua dan tiga. Bagi saya, cukuplah seorang isteri dan anak-anak yang mengisi ruang hidup buat masa kini. Alhamdulillah saya bahagia dengan kehidupan sekarang," katanya kepada BH PLUS.

Pelakon Lelaki Terbaik FFM 25 yang dilahirkan dalam keluarga seni Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail berkongsi, beliau perlu mempertimbangkan sebaiknya tawaran yang diberikan kerana ia memberikan impak kepada keluarganya.


FAIZAL Hussein pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik FFM 25. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bapa kepada dua orang cahaya mata, Fazryn (10 tahun) dan Fazrick (7 tahun) tidak menghalang anak-anaknya untuk menonton karya yang membabitkan diri beliau selagi kandungannya tidak keterlaluan untuk tatapan mereka.

"Apabila saya sibuk dengan penggambaran, anak-anak akan bertanya kepada saya sama ada watak yang diterajui itu adalah watak baik atau jahat. Anak saya, Fazryn bimbang sekiranya saya membawa watak jahat, dia akan diejek di sekolah nanti.

"Oleh itu, saya memilih untuk lebih berhati-hati menerima tawaran kerana tidak mahu ia terlalu keterlaluan dan memberikan kesan negatif kepada anak-anak. Memang mereka ada menunjukkan minat dalam bidang ini.

"Sebagai bapa saya kenal anak-anak saya. Cuma tidak sampai hati untuk membenarkan mereka berada dalam bidang lakonan ini. Melihat sendiri pelakon kanak-kanak yang berlakon, saya jadi tidak sampai hati," kata Faizal.

Tidak mempunyai sebarang rahsia untuk kekal relevan dan menjadi pilihan sutradara tempatan, Faizal menitik beratkan keikhlasan ketika bekerja bagi menghasilkan karya yang terbaik untuk penggemar filem tempatan.


PELAKON, Faizal Hussein. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau bersyukur kerana masih dibukakan pintu rezeki untuk terus diberi amanah menerajui filem atau drama. Tambah Faizal, kemenangan yang diperoleh menerusi filem Bunohan banyak membuka ruang untuk terus aktif sebagai pelakon.

"Alhamdulillah saya masih lagi diterima untuk membawakan watak utama biarpun kehadiran pelakon baru tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Bagi saya, keikhlasan ketika bekerja begitu penting dan dapat dizahirkan dengan hasil karya yang dilakonkan itu.

"Selepas kemenangan menerusi filem Bunohan, saya diberi kepercayaan melakonkan lapan buah filem. Saya juga bangga melihat kemajuan industri kreatif yang membuka ruang kepada pelakon-pelakon lama dan juga baru," kata Faizal.

Berita Harian X