Khamis, 2 Oktober 2014 | 3:55pm
KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Danyal Balagopal Abdullah. - Foto Farizul Hafiz Awang

Sukan Asia: Rayuan Malaysia isu doping ditolak - Danyal

INCHEON: Rayuan dikemukakan kontinjen negara terhadap isu doping membabitkan atlet wushu, Tai Cheau Xuen di Sukan Asia ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), kata Ketua Kontinjen Negara, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, sebentar tadi.

Begitupun, Danyal menegaskan tindakan selanjutnya yang akan dilakukan kontinjen negara bergantung kepada alasan diberikan CAS berhubung penolakan itu.

Menurutnya, kontinjen negara hanya akan menerima makluman mengenai tindakan itu dengan alasan yang bakal diberikan oleh CAS.

Keputusan yang dikemukakan CAS sekali gus menyaksikan kemenangan pingat emas yang dimenanginya Cheau Xuen kemungkinan besar akan ditarik balik.

Menurut AFP, satu bahagian khas diwujudkan oleh CAS pada Sukan Asia di Korea Selatan.

Cheau Xuen didapati positif menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine selepas memenangi pingat emas dalam acara cara gabungan nanquan dan nandao wanita pada 20 September, hari pertama acara itu dipertandingkan.

Malaysia sebelum ini membuat bantahan yang mengatakan Cheau Xuen tidak bersalah dengan dakwaan berlakunya kelalaian dalam proses ujian sampel.

Lima atlet dilaporkan sudah pun gagal ujian dalam ujian doping di Sukan Asia dan disingkirkan. OCA berkata sebanyak 1,900 atlet daripada beberapa 9,500 yang bertanding di Incheon sudah menjalani ujian dadah. - AFP

Berita Harian X