Isnin, 26 Oktober 2015 | 12:03am
Gambar hiasan.

Generasi gajet makin hilang kemesraan

KANAK-KANAK semakin hilang kemahiran berkomunikasi disebabkan asyik dengan gajet.- Gambar hiasan.

SENARIO satu

Lama penulis perhatikan anak kecil itu, mungkin usianya sekitar setahun lebih, duduk santai di kerusi.

Sambil disuap makanan, matanya bulat memandang skrin tablet yang diletak di atas meja di hadapannya. 'Kartun', bisik hati.

Sedikit pun matanya tidak berkerdip dan tidak juga ia merengek. Begitu hebat penangan gajet ke atas anak kecil ini.

Sebelum ada gajet seperti itu, ibu biasanya akan bercakap-cakap dengan anak untuk menarik perhatiannya supaya mudah disuap makanan. Ada kala ibu akan berzikir atau menyanyikan lagu anak.

Penulis pun pernah melihat anak yang diletak di dalam kereta sorong begitu leka merenung skrin telefon bimbit atau kids tablet 'tablet anak-anak'.

Canggih betul anak kecil sekarang, main telefon bimbit atau tab. Emak ayah duhulu habis bagi puting susu, kotak untuk anak pegang.

Gambar hiasan.

Senario dua

Di jalan raya, kelihatan dua remaja perempuan. Mereka berjalan beriringan tetapi masing-masing sibuk dengan gajet di tangan. Masing-masing menatang telefon bimbit sambil kaki melangkah.

Kebanyakan kita mungkin sudah biasa dengan senario begitu. Itu belum lagi di restoran, kedai makan mahu pun lobi hotel. Perhentian bas, perhentian teksi, stesen kereta api, di dalam bas, di taman, ruang menunggu hospital serta lapangan terbang!

Kalau di pejabat, panjang-panjangkan leher dan cuba kira berapa orang yang sedang leka dengan telefon bimbit, pintar atau tak pintar!

Mengenai telefon bimbit ini, ada satu hobi tetapi ada pula yang menganggap sebagai penyakit iaitu selfie, mengambil gambar sendiri dengan telefon bimbit.

Laporan dari Washington baru-baru ini mendedahkan dapatan kajian generasi muda masa kini bakal merakam lebih 25,000 gambar selfie sepanjang hayat mereka!

Kalau pun mungkin angka ini terlalu besar untuk dipercayai perhatikan di sekeliling anda atau di Facebook, berapa ramai yang menyiarkan gambar selfie mereka dalam sehari.

Kalau dicongak seminggu, sebulan, setahun? Selepas selfie timbul pula istilah 'usie' iaitu kecenderungan mengambil gambar sendiri lalu mengajak rakan untuk sama-sama bergambar.

Telefon bimbit adalah antara gajet yang mesti dimiliki dan bukan lagi dianggap sebagai barang mewah.

Gambar hiasan.

Semua lapisan masyarakat sehingga kepada golongan berpendapatan rendah sekurang-kurangnya mesti ada satu telefon bimbit.

Kalau keluarga berada, boleh dikatakan semuanya ada dua atau tiga seorang termasuk tablet.

Ada rakan yang pernah tertinggal telefon bimbit bergegas berpatah balik ke rumah untuk mengambil telefon bimbitnya. "Susahlah tak ada `handphone'," katanya.

Selain telefon bimbit yang silih berganti modelnya, banyak lagi gajet yang ada di pasaran yang menjadi kegilaan khususnya anak muda.

Ada yang membawa pelbagai gajet ini sekali gus. Komputer riba sudah pasti ada terutama bagi pelajar kolej atau universiti untuk memudahkan mereka mencari maklumat melalui Internet, penggunaan e-mel dan kegunaan lain, termasuk membuat tugasan.

Satu lagi gajet yang menjadi buruan ialah tablet yang boleh menggantikan komputer riba untuk mengakses data dan e-mel. Skrinnya yang besar memberi keselesaan untuk membaca e-book, melayari laman sesawang atau permainan.

Bagi mereka yang suka mendengar muzik atau lagu, pasti ada i-pod bersama.

Gajet ini boleh dianggap sebagai teman ketika menelaah atau beriadah, juga ketika di dalam tren atau bas. Tidak perlu bertegur-sapa, pasang set kepala, jari pula membelek telefon bimbit.

Gambar hiasan.

Memang tidak dapat dinafikan kebanyakan gajet ini ada manfaatnya. Cuma pada masa sama, ada juga kesan negatifnya. Tidak keterlaluan untuk menyatakan terlalu banyak menghabiskan masa dengan gajet begini boleh menjadikan seseorang lama kelamaan akan kurang kemahiran berkomunikasi serta berinteraksi dengan orang di sekeliling.

Malahan tidak mustahil sekiranya keadaan ini juga boleh menghakis keakraban hubungan anak dengan orang tuanya. Bayangkan sejak usia bayi lagi anak telah disogokkan dengan gajet seperti ini untuk melekakan atau menjadikan anak yang menangis menjadi diam.

Tidak mustahil juga gajet ini lebih mendapat tempat di hati anak daripada emak atau ayah? Anak tidak lagi mengendahkan suara emak atau ayah tetapi lebih terpesona dengan suara watak kartun, umpamanya, yang sekian kali diulang sebagai santapan mata dan telinga.

Bagi mereka yang ada anak remaja, perhatikan berapa banyak dibelanjakan untuk top-up kad atau berapa jumlah bil bulanan telefon bimbitnya jika ia masih menjadi tanggungan emak atau ayah.

Berapa banyak masa dihabiskan berkurung di dalam bilik, sibuk WhatsApp dan melayan Facebook sepanjang hari, sepanjang malam dengan rakan sebaya tanpa menghiraukan emak dan ayah atau adik-beradik.

Sehinggakan apabila berada di luar rumah pun anak hanya mengirim teks pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp sahaja dengan orang tuanya tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menelefon mereka.

Hari yang berlalu hubungan anak dan orang tua semakin renggang tetapi siapa hendak disalahkan apabila anak lebih akrab dengan gajet dan rakan?

Maaf cakap, bukankah emak dan ayah yang membiarkan dia membesar begitu? Bukankah emak dan ayah juga yang memanjakannya dengan gajet itu dan ini atas alasan kasih? Bukankah emak dan ayah juga yang gagal mendidik anak dalam cara penggunaan gajet serta tegas dalam meletakkan peraturan untuk menggunakannya? - BERNAMA

Berita Harian X