Ahad, 25 Oktober 2015 | 12:05am

Kekuatan karya penentu Sasterawan Negara


TETAMU yang hadir pada syarahan Baharudin mengenai Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji: Satu Penilaian. - FOTO Saifullizan Tamadi

GELARAN Sasterawan Negara (SN) bukanlah pengiktirafan untuk bermegah-megah, sebaliknya ia penganugerahan yang meletakkan seseorang pengarang sebagai 'ikon' dalam ranah sastera tanah air untuk karya, pencapaian dan sumbangannya dicontohi penggiat sastera yang lain.

Selepas Anugerah Sastera Negara (ASN) diperkenalkan sejak 1981 dan menobatkan 13 pengarang sebagai penerimanya, penggiat sastera selaku 'juri awam' mengharapkan pemilihan SN menepati ciri khas yang tidak sepatutnya dipinggirkan demi menjaga kredibilitinya sebagai pengiktirafan sastera tertinggi dalam negara.

Justeru, BH Sastera cuba mendapatkan pandangan penulis mengenai ciri-ciri penting yang perlu ada pada penulis yang memegang gelaran SN.

Bagi Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) mewakili Malaysia pada 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir, seorang SN itu perlu mempunyai karya yang kuat, sekali gus menjadi penanda aras kepada kepengarangannya.

"Pemilihan seseorang SN sepatutnya tidak bergantung kepada gender, populariti dan senioriti, sebaliknya perlu ada karya yang kuat, berkesan dan mewakili dirinya.

"Umpamanya, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad dikenali dengan karya besarnya, Ranjau Sepanjang Jalan, Datuk Dr Anwar Ridhwan dengan Di Negeri Belalang dan Allahyarham Datuk Dr Usman Awang menerusi Salina.

"Jika karyanya tak kuat, tidak dikenali dalam kalangan masyarakat dan seakan sama sebagaimana dihasilkan penulis lain, apakah keistimewaannya untuk diangkat sebagai SN," katanya.

Pandangan hampir selari turut diutarakan pengarang, Muhammad Luthfi Ishak yang menyifatkan SN perlu berwibawa terutama dalam menemukan idea besar bagi memperkaya khazanah budaya bangsa.

"Cara penyampaian penulis yang layak diangkat dengan gelaran SN bukan saja perlu kaya dengan keindahan, tetapi turut mengandungi wacana atau ilmu di dalamnya.

"Ia juga perlu menulis kebenaran iaitu tidak bercanggah dengan keilmuan dan memberi manfaat besar kepada masyarakat serta mempengaruhi jalur perkembangan kesusasteraan tempatan,"katanya.

Bagi Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shamsudin Othman, seseorang itu hanya layak digelar SN jika berjaya meninggalkan satu doktrin kepada pembinaan sastera.

"Jika kita perhatikan latar penerima ASN, lima daripada mereka adalah ahli sarjana seperti Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh dan Allahyarham S Othman Kelantan yang tampil dengan mencipta satu teori tersendiri yang akhirnya mencetuskan polemik dalam dunia sastera tanah air.

"Umpamanya Muhammad Haji Salleh yang mencetuskan Teori Puitika Sastera Melayu sehingga ia dibahaskan pengkritik sastera, Mohd Affandi Hassan dan tampil dengan sebuah buku bagi menolak teori berkenaan,"katanya.

Shamsudin juga menolak kuota tertentu yang membataskan pemilihan SN yang berkelayakan, kerana dalam bidang lain seperti sukan dan hiburan, isu itu tidak pernah timbul, sekali gus penganugerahan diberikan atas dasar keupayaan dan sumbangan individu.


PENYANYI, Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu "Tak Pernah Menyerah" lirik oleh Poji Samad dan Komposer oleh Akid pada pusingan separuh akhir ketiga Muzik-Muzik 30 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Ghazali Kori

Novelis Sabah, Dayangku Mastura Pangeran Ismail pula berpendapat SN perlu arif dalam memasyarakatkan sastera dan tidak mandiri.

"Ciri pengarang yang patut diangkat sebagai SN sangat subjektif, selain diukur menerusi kekuatan karya, individu ini juga harus dekat dengan masyarakat, sekali gus menjadi pemangkin dalam usaha melestarikan sastera.

"Kelihatannya ada SN selepas diberi penganugerahan, hanya senyap tanpa khabar berita dan tiada usaha mendekatkan diri dengan masyarakat,"katanya.

Bagi pengarang kreatif, Ariff Mohamad, pengarang yang layak bergelar SN bukan saja tertakluk kepada kekuatan karyanya, bahkan ia mestilah diterima khalayak masyarakat.

"Soal kualiti bagi seseorang penerima SN ini sangat luas dan pada pandangan saya, salah satu kriterianya adalah penerimaan orang luar atau kelompok masyarakat terhadap karyanya dan mengklasifikasikan ia sebagai naskhah yang baik.

"Ia juga mesti tinggi dengan peradaban, falsafah, estetik dan nilai kemasyarakatannya,"katanya.

Berita Harian X