Sabtu, 24 Oktober 2015 | 12:01am

25 menu masakan Melayu, Barat di Dyanna Cafe


DYANNA (tengah) bersama cef menunjukkan menu utama yang terdapat di Dyanna Cafe.- Foto Muhd Zaaba Zakeria

TIDAK perlu pergi jauh ke Temerloh, Pahang untuk merasai kelazatan ikan patin atau memandu sehingga dua jam dari ibu negara ke Melaka bagi menikmati keenakan asam pedas.

Tidak perlu juga meneroka pelusuk desa jika mahu mengisi perut dengan pelbagai masakan Melayu atau kuih-muih tradisional kerana semua hidangan itu ada disajikan di sebuah restoran di pinggir Kuala Lumpur, Dyanna Cafe.

Melangkah masuk ke restoran berkenaan yang beroperasi di Bandar Mahkota Cheras, pasti terliur melihat pelbagai lauk-pauk yang dihidangkan. Ada ikan patin masak lemak tempoyak, ada asam pedas pari dan ada ayam kampung.

Bukan itu saja, Dyanna Cafe turut menyajikan menu unik dari Sarawak, iaitu lalapan ikan keli dan udang. Untuk hidangan alas perut, anda boleh mencuba ubi kayu rebus bersama sambal, nasi lemak atau pelbagai hidangan ringan dari Barat.


DYANNA (kiri) bersama penyanyi Elyana dan Farhan (kanan) yang turut mengunjungi restorannya.

Pilihan 25 jenis menu

Kepelbagaian menu hasil ilham Pengarah Urusannya, Dyanna Saidin, yang berpengalaman luas dalam bidang masakan dan katering selepas berkhidmat di dapur dua hotel terkemuka di ibu negara, tidak lama dulu sebelum berhenti kerja, tahun lalu.

Dibantu 10 pekerja, termasuk empat tukang masak, restoran yang beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam kecuali Ahad itu diusahakannya bersama tiga rakan kongsi.

Ia juga satu-satunya restoran masakan Melayu di Bandar Mahkota Cheras.

"Kami menyediakan 25 jenis menu, terutama masakan Melayu tradisional dan moden untuk sarapan bermula dari 7 pagi, makan tengah hari, minum petang dari jam 4 petang dan makan malam," kata Dyanna yang berasal dari Parit Buntar, Perak dan turut berkecimpung dalam dunia peragaan serta berbakat dalam bidang seni suara.

Selepas berhenti kerja, beliau mengusahakan perniagaan katering dan banyak menerima tempahan dari masjid dan surau, rumah anak yatim serta pejabat sekitar Kuala Lumpur, selain turut berniaga di bazar Ramadan di Taman Melor, Ampang serta Bangsar.

"Impian membuka restoran sendiri tercapai bersama tiga rakan kongsi dan Bandar Mahkota Cheras dipilih sebagai lokasi kerana sukar mendapatkan juadah Melayu di sini.

"Malah, kami satu-satunya restoran yang menyediakan menu berkenaan di kawasan ini," kata lulusan bidang kulinari dari sebuah kolej di Ipoh ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai menu disajikan restorannya, Dyanna berkata, ada pelbagai jenis hidangan untuk sarapan, termasuk yang sukar didapati, iaitu ubi kayu rebus bersama sambal, selain menu biasa lain seperti nasi lemak dan mi goreng serta menu dari Barat seperti sosej.


DYANNA (kanan) melayan tetamu yang hadir sempena pembukaan Dyanna Cafe di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

Santai sambil berkaraoke

Untuk hidangan tengah hari pula, pelanggan boleh memilih ikan patin masak lemak tempoyak, asam pedas ikan pari, kari kepala ikan serta pelbagai menu berasaskan ayam dan ayam kampung seperti masak merah, masak kicap, sup dan goreng.

"Mulai jam 4 petang pula, kami menghidangkan minum petang bersama lalapan keli dan udang, pelbagai kuih-muih Melayu, sate serta pisang dan cempedak goreng. Buat masa ini, semua menu adalah dalam bentuk bufet dan set," katanya.

Sambil menikmati juadah di dalam restoran yang diubah suai cantik dengan dekorasi menarik oleh syarikat rakannya, Patrick Lok, pelanggan juga boleh berkaraoke dan turut dididik aspek kebersihan diri sebelum dan selepas makan menerusi tayangan video, sesuatu yang jarang dilihat di restoran lain.

Dyanna Cafe turut menerima tempahan mengadakan majlis jamuan di restoran berkenaan yang boleh memuatkan sehingga 6o pelanggan, selain tempahan katering.

INFO: Dyanna Cafe

  • Lokasi: No 7, Jalan Temenggung 9/9, Bandar Mahkota, Cheras, Selangor
  • Waktu operasi: 7 pagi-12 tengah malam, tutup Ahad
  • Facebook: www.facebook.com/dyanasaidin
  • Instagram: Dyana Saidin
  • E-mel: Dyana7000@yahoo.com
  • Tel: 019-3055008/019-2489898

Berita Harian X