Jumaat, 23 Oktober 2015 | 1:03am

Bajet 2016: Pemberian bonus relevan dalam sebarang situasi - CUEPACS


KUALA LUMPUR: Bajet 2016 yang akan dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini, dilihat sebagai pembentangan belanjawan yang penting kerana kedudukan ekonomi global semasa adalah amat mencabar.

Ketidaktentuan dan kelembapan ekonomi global serta penurunan harga komoditi dan penyusutan ringgit menjadi antara faktor yang menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

Tidak terkecuali menerima tempias kesan berkenaan adalah rakyat yang perlu menanggung peningkatan kos sara hidup, harga barang dan kenaikan harga rumah.

Bagi Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), walaupun mengakui negara menghadapi ketidakstabilan ekonomi, pihaknya tetap berharap Bajet 2016 ini memberikan ole-ole yang ditunggu-tunggu penjawat awam, iaitu bonus dan kenaikan gaji.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata CUEPACS berharap bajet kali ini turut merangkumi pemberian bonus tiga bulan gaji kepada penjawat awam dan diselaraskan pemberiannya untuk semua peringkat jawatan.

Katanya, walaupun menyedari hakikat ekonomi semasa namun kerajaan adalah majikan kepada penjawat awam dan perlu memahami situasi semasa penjawat awam.

"Kami optimis Perdana Menteri memahami situasi semasa penjawat awam dengan peningkatan kos sara hidup, harga barang dan rumah. Bagi pekerja, pemberian bonus adalah perkara yang sentiasa relevan walau dalam apa situasi sekalipun.


PRESIDEN CUEPACS, Datuk Azih Muda. - Foto Asyraf Hamzah

"Bonus kepada penjawat awam menjadi taruhan penting dalam Bajet 2016 kali ini. Ini adalah harapan kepada lebih lima juta keluarga kakitangan penjawat awam.

"Bayangkan dengan gaji sekitar RM4,000 sebulan, tinggal di bandar. Ia masih lagi dikategorikan sebagai miskin bandar. Sekurang-kurangnya pemberian bonus ini nanti dapat membantu dari segi kewangan kepada penjawat awam," katanya.

Selain itu, Azih berkata harapan CUEPACS dalam pembentangan Bajet 2016 ini nanti adalah semakan skim gaji minimum penjawat awam selain pemilikan rumah mampu milik.

Katanya, kelembapan ekonomi negara menyebabkan peningkatan harga barang sekali gus memberikan impak kepada kos sara hidup.

Kenaikan gaji minimum dan maksimum ini kelak diharap dapat membantu penjawat awam yang kurang berkemampuan terutamanya golongan muda menikmati kehidupan dengan lebih selesa.

"Skim gaji minimum penjawat awam kini sudah tidak relevan. Adakah cukup gaji minimum RM900 sebulan bagi menampung kehidupan di bandar? Gaji minimum kini tidak mencukupi untuk keperluan seharian apatah lagi membeli rumah.


CUEPACS optimis Perdana Menteri memahami situasi semasa penjawat awam dengan peningkatan kos sara hidup, harga barang dan rumah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Skim gaji minimum baru yang dicadangkan CUEPACS sebanyak RM1,200 diharapkan dapat membantu penjawat awam menikmati kehidupan selesa.

"Ia juga dapat memartabatkan lagi kerjaya penjawat awam. Bila skim gaji disemak semula, lebih ramai golongan muda berkeyakinan menjadi penjawat awam. Ia dapat memodenkan atau memberi transformasi kepada struktur kerajaan," katanya.

Azih berkata, jika isu gaji tidak berganjak bagaimana penjawat awam dapat memiliki rumah walaupun banyak skim rumah kos rendah atau rumah mampu milik, termasuk di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) diperkenalkan.

Katanya, walaupun harga rumah antara RM90,000 hingga RM150,000 seunit, gaji tidak naik bagaimana mereka mampu membeli rumah.

"Harapan kami agar kerajaan melihat semula akta perumahan agar semua orang termasuk penjawat awam mampu memiliki rumah," katanya.

Berita Harian X