Khamis, 22 Oktober 2015 | 7:05pm

KeTTHA harap fasa ke-2 penstrukturan semula air di Selangor diteruskan


MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diharap dapat diteruskan dengan fasa kedua membabitkan pengambilalihan dua lagi syarikat konsesi oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata dua syarikat konsesi itu adalah Konsortium ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd.

"Ia adalah supaya perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat diuruskan secara holistik seperti yang dihasratkan oleh kerajaan Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Fasa pertama penstrukturan itu membabitkan Air Selangor, anak syarikat kerajaan negeri, mengambil alih pengurusan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd secara rasmi pada 12.30 tengah hari, 15 Oktober, 2015.

"Dengan selesainya fasa pertama, saya berharap Air Selangor akan meneruskan kecemerlangan pengurusan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagaimana yang dilaksanakan ketika di bawah pengurusan PNSB," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X