Rabu, 14 Oktober 2015 | 2:41pm
PASANGAN penyanyi kelahiran program realiti, Azri dan Salma bergelar ibu bapa semalam.

Salma protege Erra Fazira, selamat lahirkan anak


BAYI comel Azri dan Salma seberat 4.1 kilogram ini lahir secara pembedahan di Hospital Serdang.

KUALA LUMPUR: Pasangan penyanyi kelahiran program realiti, Azri dan Salma bergelar ibu bapa semalam.

Salma penyanyi daripada program mencari bakat Mentor TV3 musim kelima menjadi protege Erra Fazira selamat melahirkan anak perempuan pada jam 9.31 malam tadi.

Bayi seberat 4.1 kilogram itu lahir secara pembedahan di Hospital Serdang. Azri yang juga bintang Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan turut berkongsi keterujaannya kepada BH Online sebentar tadi.

Pasangan ini berkahwin hujung Januari lalu. Ia perkahwinan pertama buat Azri dan kedua buat Salma. Anak Salma menerusi perkahwinan pertama kini sudah berusia lapan tahun.

"Keputusan untuk dia melahirkan anak ini agak mencemaskan saya. Doktor beritahu pembedahan ini berisiko kepada ibu dan jika dilahirkan secara normal ia akan berisiko kepada si anak pula.

"Doktor sebenarnya melihat kandungan bayi dalam perutnya agak besar dan mencadangkan untuk melakukan pembedahan saja. Bahkan doktor turut memberitahu jika mahu bayi dilahirkan secara normal dibolehkan tetapi jika lambat keluar, akan menyebabkan bayi lemas atau cacat," katanya.

Salma dan Azri sepakat memberikan nama Andi Raisya Mohamad Azri kepada cahaya mata sulung mereka.

Berita Harian X