Rabu, 14 Oktober 2015 | 7:00am

FMBH 2015: Shawn Sinar Sutera tawar cabutan bertuah


SHAWN (kiri) dan Nisa menunjukkan koleksi baharu Butik Shawn Sinar Sutera. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Berbelanja sambil menang hadiah! Itu tawaran istimewa butik pengantin, Butik Shawn Sinar Sutera dan jenama tudung dalam talian, Prettylah kepada pengunjung bertuah Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015), pada 24 dan 25 Oktober ini.

Pengunjung berpeluang memenangi telefon pintar model terkini menerusi pembelian pakej perkahwinan atau tudung di gerai berkenaan yang menyertai FMBH 2015 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), di sini.

Pemilik Butik Shawn Sinar Sutera, Abu Hassan Nordin atau dikenali sebagai Shawn, berkata cabutan bertuah berkenaan dibuat dua kali dan pemenang akan diumumkan menerusi media sosial pada hari terakhir FMBH 2015.

Lebih berkesan

"Pendekatan ini sekali gus membolehkan kami sebagai penyedia perkhidmatan berorientasikan perkahwinan dan pemilik jenama tudung mendapatkan pelanggan secara walk-in dengan lebih berkesan.

"Butik saya menawarkan perkhidmatan sehenti kepada bakal mempelai. Sebagai pereka, saya gemar menghasilkan rekaan dalam dimensi berbeza dan luar daripada kebiasaan, namun pandangan pelanggan tetap menjadi keutamaan," katanya ketika dihubungi BH.

Shawn berkata, sempena cuti persekolahan hujung tahun, butiknya menawarkan busana pengantin dan set pelamin daripada warna merah khusus untuk bakal mempelai. "Koleksi baharu, Merah Dewangga ini adalah tarikan baharu. Tema putih dan warna pastel lain tetap disediakan untuk konsep sewa-beli kerana pilihan itu tetap segar dan tidak luput dek zaman.

Rakan kongsi Shawn, Nisa Isa, berkata gerai jualan sama menawarkan koleksi hijab, Ayeesha yang menampilkan pilihan tudung warna pastel menggunakan material dari sifon Itali, satin sutera dan sutera kapas.

Nisa berkata, mereka berdua selesa bekerjasama kerana berkongsi inspirasi dan aspirasi sama meskipun mengusahakan bidang perniagaan berbeza.

"Kami berkongsi pengalaman kerana Shawn sudah 10 tahun menceburkan diri sebagai penyedia perkhidmatan perkahwinan, meyakinkan saya mengasaskan jenama sendiri.

Penuhi kehendak pelanggan

"Instagram dan Facebook membuatkan jenama saya dikenali dan memenuhi kehendak gaya gadis 15 tahun hinggalah wanita berusia 45 tahun," katanya.

Produk butik pengantin dan jenama tudung berkenaan semakin dikenali kerana sering digayakan selebriti, sesi fotografi dan koleksi baharu mereka boleh diikuti melalui akaun Instagram, iaitu shawn_ahn790913 (#shawnsinarsutera) atau prettylah_ (#preetylah).

Penganjuran FMBH 2015 kali kedua ini menghimpunkan kira-kira 100 bazar jualan yang disertai jenama fesyen Muslimah terkenal selain acara berprestij ini memberikan peluang kepada orang ramai berinteraksi dengan selebriti popular.

Antara selebriti tempatan yang akan membuka bazar jualan ialah Emma Maembong, Rozita Che Wan, Neelofa, Memey Suhaiza dan jenama besar fesyen Muslimah.

Pengunjung FMBH 2015 juga akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Ayda Jebat, Adira, Najwa Latif, Hafiz Hamidun, Caliph Buskers dan Asfan.

Pengunjung juga berpeluang menambah ilmu menerusi program bicara bersama pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Muhamad yang membincangkan topik Fesyen, Kesihatan dan Kecantikan.

Bagi segmen Refleksi Muslimah, Pengarah Kreatif Cosry yang juga pereka fesyen, Putra Aziz; bekas model, Suhara Omar dan pelakon Yana Shamsudin akan berbicara mengenai Cabaran Fesyen Muslimah Dalam Era Digital.

Berita Harian X