Selasa, 13 Oktober 2015 | 12:13am
BILA bersama kumpulan rock Wings pada konsert Akademi Fantasia 2015 minggu keenam di Dewan MBSA. - Foto Saifullizan Tamadi
GANDINGAN Bila dan Sharul pada konsert suku akhir Akademi Fantasia 2015 di Dewan MBSA. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Bapa rock, anak pilih rentak R&B


BERDEPAN sikap prejudis pemain industri hiburan serta kecenderungan khalayak memuja paras cantik dan memikat, pemenang ketiga Akademi Fantasia (AF) 2015, Bila enggan menyerah kalah sekalipun perjalanan seninya baharu bermula.

Menyedari nasib artis berbadan besar di Malaysia bagai terpinggir, Bila atau nama sebenarnya, Nurnajmi Nabila Samsaidi, berazam berusaha dengan apa cara sekalipun supaya namanya sebaris penyanyi angkatan baharu popular.

"Saya gembira dan bersyukur kerana sudah melangkah sejauh ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menyokong dan menerima saya seadanya," katanya ketika ditemui BH Plus.

Bila yang juga anak kepada pemain bes kumpulan Wings, Samsaidi atau lebih dikenali sebagai Eddie memberitahu, beliau nekad meneruskan perjuangan bersandarkan bakat dimiliki.

Bukan mendabik dada atau terlalu yakin, Bila atau dipanggil 'adik' oleh anggota keluarga berkata, biarpun perjalanan seni yang bakal ditempuhi berliku dan mencabar, beliau akan berusaha menjadi penyanyi terbaik.

"Saya tahu ini bukan usaha mudah. Hakikat sebuah kehidupan, rupa paras tetap akan menjadi jamuan mata yang paling utama.

PEMENANG ketiga Akademi Fantasia (AF) 2015, Bila. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Tapi itu bukan alasan untuk menyerah. Saya percaya rezeki di tangan Tuhan," katanya.

Sejak mula muncul dalam program realiti, AF2015, Bila mula mencuri tumpuan. Bukan saja saiz badannya yang berbeza berbanding peserta lain, lontaran vokalnya memukau pendengar.

Malah, kemampuan Bila menyanyi dengan sempurna dipuji juri tetap iaitu maestro muzik, Datuk Ramli MS secara terbuka.

Sejak mula bersaing di pentas AF2015, nama Bila terus meniti di bibir penonton setia rancangan saduran Mexico, La Academia itu. Satu demi satu magis ditampilkan peserta berusia 19 tahun itu di pentas konsert mingguan.

Mengakui idolanya seperti penyanyi Adibah Noor dan Dina Nadzir tidak mendapat laluan mudah menempa nama dalam industri, Bila mencabar dirinya untuk memecah tembok skeptikal khalayak.

Akui Bila, sepanjang berada dalam gelanggang AF2015, sedikit sebanyak beliau mendapat isyarat bahawa jika tidak mencuba, sampai bila seseorang itu tidak tahu kemampuan diri.

BILA bersama ayahnya, Eddie Wings semasa membuat persembahan di Konsert AF2015 minggu keenam di Dewan MBSA. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya susah untuk menyanyi di depan orang. Bila bapa minta, saya enggan sebab tak yakin dengan diri. Saya tidak tahu saya ada bakat.

"Sejak kecil, saya memang minat menyanyi dan menjadi penonton setia AF," katanya yang menyertai uji bakat itu tanpa pengetahuan ibu bapa.

Bila berkata, biar apapun rintangan menanti, beliau akan menggunakan bakat yang ada sebagai perisai dalam perjuangan menjadi anak seni.

"Saya akan melangkah, walaupun sukar mana, selagi termampu saya akan berusaha mencapai cita-cita ini," katanya.

Bila berkata, bisikan ibu bapa selepas muncul pemenang ketiga pada AF2015, Ahad lalu, bagai menyuntik antibiotik paling kuat untuk dirinya.

"Ibu dan bapa beritahu mereka bangga dengan saya. Mereka tidak sangka saya mampu melalui semua ini. Saya bertuah punya insan hebat seperti mereka," katanya.

GANDINGAN Bila dan bekas peserta AF, Bob pada konsert separuh akhir Akademi Fantasia 2015. - Foto Shazreen Zamzuri

Bekas peserta AF, Bob yang juga bertubuh besar, yakin Bila mampu melangkah jauh dalam dunia seni.

Ini kerana pada pandangannya, Bila mempunyai bakat dan gaya tersendiri.

Bagi Bob, Bila perlu berani dan memperjuangkan bakat nyanyian demi mencuri hati peminat.

"Jujurnya, berdasarkan pengalaman peribadi, saya pada mulanya risau dan takut ketika mula-mula melangkah keluar dari AF.

"Namun, syukur saya masih bertahan hingga hari ini," kata Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop, 34.

Bob tidak menafikan ada pihak tidak senang dengan artis bersaiz besar dan terlalu memandang rupa.

Namun, bagi Bob, golongan itu hanya segelintir kerana masih ramai lagi orang menghargai bakat.

Akuinya, beliau dan beberapa rakan artis berbadan besar sering diundang membuat persembahan di korporat dan acara rasmi.

JUARA Akademi Fantasia 2015, Sufi (tengah) bersama pemenang tempat kedua, Syamel (kiri) dan Bila (ketiga) pada konsert akhir Akademi Fantasia 2015 di Dewan MBSA. - Foto Zaaba Zakeria

"Satu pesan saya kepada Bila, jangan dengar kata orang yang negatif tetapi terus melangkah. Perjuangkan bakat yang ada.

"Cabaran dan kritikan orang itu lumrah, tetapi rezeki itu di tangan Allah," kata peserta AF musim kedua itu.

Ketika bersaing di pentas akhir AF2015, Bila mendapat komen positif daripada semua juri iaitu Ramli, Datuk AC Mizal, Fauziah Ahmad Daud dan Datuk Aznil Nawawi.

Malah, dalam komennya, Aznil meminta penonton menterjemah sokongan terhadap Bila dan menghargai bakat gadis itu.

"Inilah masanya semua rakyat Malaysia membuktikan mereka menyokong bakat, bukan hanya memandang rupa.

"Kita ada ramai penyanyi berbadan besar yang berbakat tetapi tidak mendapat sokongan sepatutnya daripada peminat," katanya.

Berita Harian X