Selasa, 30 September 2014 | 5:00pm

Selami misi chef selebriti Nik Michael Imran di Australia

KUALA LUMPUR: Chef selebriti, Nik Michael Imran baru saja kembali dari Australia dan selama dua minggu di sana, juri program permainan hiburan masakan, Kan Cheong Kitchen di 8TV itu sempat singgah ke Adelaide, Perth, Gold Coast dan Melbourne.

Ke Australia atas tiket bekerja sambil makan angin, Nik sebenarnya menjalani rakaman program travelog empat episod dipanggil Aussie Mari untuk siaran Astro Ria yang dijangka bersiaran hujung Oktober.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Tourism Australia dan AirAsia X.

"Saya ke empat destinasi menarik itu dengan satu jurnal yang mengandungi misi apa yang perlu saya buat dan cari di sana.

"Dan jika saya berjaya, saya akan mendapat ganjaran. Nak tahu apa ganjarannya, kenalah tunggu kemunculan program itu nanti.

"Program ini akan memaparkan destinasi kembara dan tempat menarik yang boleh dilawati. Program ini seperti kita pergi bercuti dan kita akan belajar selok-belok mengenai tempat itu. Kita akan layari internet untuk dapatkan info atau gunakan peta untuk ke satu satu tempat.

"Saya merasai pengalaman naik Segway, tram dan memanjat bukit dan naik belon panas di Gold Coast.

"Saya berpeluang memegang beruang koala dan kanggaru, sempat ke Zoo Caversham Wildlife Park," katanya.

Tambah Nik lagi, beliau juga berpeluang membuat kopi dan coklat sepanjang berada di sana.

"Paling menyeronokkan dapat merasai peluang mengambil madu dari sarang lebah, berenang dengan ikan lumba-lumba dan panjat bangunan SkyPoint. Tak ketinggalan juga ke Taman Tema Warner Bros Movie World.

"Satu kenangan yang tak boleh lupakan ialah menunjukkan kemahiran masakan saya dengan memasak nasi goreng di sebuah restoran milik orang Indonesia di sana," kata hos program Bikin Panas di TV9 itu.

Berita Harian X