Sabtu, 10 Oktober 2015 | 7:38pm

Tanpa Sufi, Rafizul, skuad hoki remaja negara tetap berbisa


JURULATIH skuad remaja negara, A Arul Selvaraj. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHARU: Ketiadaan dua tonggak utama, Sufi Ismat dan Rafizul Ezry Mustafa dalam skuad hoki remaja negara pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor, di sini, tidak akan melumpuhkan semangat pasukan.

Malah sebaliknya, ia akan memberi peluang skuad itu memantapkan lagi permainan mereka menjelang perlawanan pertama di sini esok.

Jurulatih skuad remaja negara, A Arul Selvaraj berkata ketiadaan dua pemain itu akibat kecederaan hamstring sejak dua minggu lalu, akan menyaksikan pemain lain meningkatkan lagi mutu permainan mereka.

"Ketiadaan Sufi sedikit sebanyak memberi impak. Namun begitu, saya yakin ini adalah peluang bagi yang lain mengisi ruang kedua-dua mereka terutama dengan kejohanan ini menjadi pentas terakhir sebelum mereka beraksi di Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang, November ini," katanya di sini, hari ini.

Arul berkata, pemain Terengganu, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, sebagai contoh mempunyai cara permainan yang hampir serupa dengan Sufi, dan diharapkan untuk memberi tentangan pada kejohanan kali ini.

Selain itu, beliau berkata kejohanan kali ini turut memberi ruang bagi mereka untuk mencuba segala strategi taktikal sebagai persiapan terakhir ke Kuantan.

"Saya tidak suka letak sasaran tapi kita akan cuba terbaik dan beri tentangan hebat kepada semua pasukan," katanya.

Malaysia mendapat tempat kelima pada kejohanan lalu.

Arul turut berharap agar kemenangan skuad remaja dalam mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA lalu akan turut memberi suntikan semangat kepada skuad itu untuk mempamerkan mutu terbaik pada kejohanan ini.

Selain Malaysia sebagai tuan rumah, turut menyertai edisi kelima Piala Sultan Johor adalah juara dua kali India, Jerman, Argentina, Great Britain dan Australia.

Malaysia akan menentang Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya, dekat sini, malam esok. - BERNAMA

Berita Harian X