Sabtu, 10 Oktober 2015 | 12:00am
PENGUNJUNG, Aslina Abu Bakar, menunjukkan antara minuman yang dijual di Kedai Qawa Coffee And Sandwich, Jalan Budiman, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak
SEORANG pekerja membancuh kopi di Kedai Qawa Coffee And Sandwich, Jalan Budiman, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Lepak di kafe sambil nikmati kopi di bandar Kuala Terengganu


KEDAI Qawa Coffee And Sandwich di Jalan Budiman, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak

BERKUNJUNG ke Terengganu, tidak semestinya ada yang mencari nasi dagang, keropok lekor, sata atau makanan penduduk tempatan.

Ada juga pengunjung ke bandar ini yang mahu mencari kelainan dengan mencuba makanan moden tetapi dalam suasana baru mengikut persekitaran setempat.

Jadi, mereka keluar dari hotel lalu mencari-cari tempat yang sesuai untuk melepak, bersantai sambil berbual atau membuat hal sendiri.

Antara tempat yang sesuai ialah Qawa Coffee & Sandwich, sebuah kafe yang terletak di Jalan Budiman, Kuala Terengganu yang menjadi tumpuan penggemar kopi.

Kafe berkonsep baharu menggunakan kontena dengan dekorasi menarik semestinya dapat memikat minat penggemar hipster, termasuk golongan muda untuk singgah dan menikmati kesegaran kopi, bersantai sambil bergambar.

Malah sudah menjadi trend masa kini setiap kali berkunjung ke kafe atau restoran yang mempunyai keunikan dekorasi dan reka bentuk tersendiri, kebanyakan mereka terutama kaki selfie pasti tidak akan melepaskan peluang memuat naik gambar mereka dalam laman sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan blog peribadi.


ANTARA pengunjung membeli minuman di Kedai Qawa Coffee And Sandwish, Jalan Budiman, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Aliran ini sekali gus memberi nilai tambah kepada pengusaha untuk mendapatkan publisiti mudah bagi mempromosi perniagaan mereka secara meluas.

Bagi pemilik Kafe Qawa Coffee & Sandwich, Mohamad Taufiq Yazid, 34, pembukaan kafe berkenaan bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai keistimewaan dan keunikan aroma kopi asli.

Keunikan kopi yang yang mempunyai kesan perangsang menjadikan minuman berkenaan sebagai antara paling digemari.

Beliau berkata, terdapat 69 jenis hidangan berasaskan kopi disediakan di kafe yang semuanya menggunakan biji kopi diimport dari Itali.

"Antara hidangan kopi yang disediakan di sini adalah Affogato, Ekspresso on the rock dan kopi asli sifon (single origin syphon drip).

"Alhamdulillah, walaupun baru dibuka namun usaha ini mula mendapat perhatian positif daripada pelanggan. Walaupun masih ada teguran, tetapi ia bukan penghalang buat kami untuk terus memajukan jenama Owa Coffee ini," katanya.

Bagi Pengurus Operasi kafe ini, Abu Zarim Zaib, kebanyakan pengunjung berpuas hati dengan menu yang disediakan.


PELBAGAI minuman dan kek yang dijual di Kedai Qawa Coffee And Sandwish, Jalan Budiman, Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ambak

"Kami turut menyediakan ruang luar yang masih dilengkapi dengan pendingin hawa kepada pengunjung yang inginkan suasana lebih privasi dan tenang.

"Dekorasi dalaman yang dicetuskan sendiri oleh pemilik dengan memaparkan barangan koleksi peribadinya turut menjadi daya tarikan," katanya.

Beliau berkata, walaupun baru beroperasi tetapi jenama Qawa Coffee sudah menjadi buah mulut kepada penduduk di sekitar bandar, malah turut dicari oleh pelancong ketika mereka berkunjung ke Kuala Terengganu.

Berita Harian X