Selasa, 30 September 2014 | 12:28pm
PENGANJUR Sukan Asia 2014, hari ini menggugurkan pingat emas yang dimenangi atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen (tengah) selepas dia didapati gagal dalam ujian dadah. - Foto Rosli Rahmat

Sukan Asia: Pemenang emas wushu negara gagal ujian doping, pingat ditarik


PENGANJUR Sukan Asia 2014, hari ini menggugurkan pingat emas yang dimenangi atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen selepas dia didapati gagal dalam ujian dadah. - Foto Rosli Rahmat

INCHEON: Penganjur Sukan Asia 2014, hari ini menggugurkan pingat emas yang dimenangi atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen selepas dia didapati gagal dalam ujian dadah, kata badan induk sukan Asia, OCA.

Cheau Xuen, 24 yang menyumbang emas pertama negara di Korea Selatan didapati menggunakan dadah perangsang jenis sibutramine, kata Majlis Olimpik Asia (OCA) dalam satu kenyataan.

Beraksi dalam acara nanquan dan nandao, Cheau Xuen disahkan positif dalam ujian terhadap sampel yang diambil selepas dia menangi emas pada 20 September lalu.

"Atlet ini sudah hilang kelayakan daripada sukan ini dan juga di Sukan Asia, dan akreditasinya juga dibatalkan dan pingatnya ditarik balik," kata kenyataan itu.

Pengumuman rasmi itu dikatakan terpaksa ditangguhkan oleh OCA kerana Cheau Xuen dan Majlis Olimpik Malaysia meminta supaya sampel B untuk diperiksa.

Selain Cheau Xuen, dua atlet lain turut disahkan gagal dalam ujian sama.

Pemain bola sepak Tajikistan dikenali Khurshed Beknazarov dan pemain soft tenis Kemboja, Sophany Yi disahkan positif selepas mereka tidak mahu sampel B diuji.

Cheau Xuen sebelum ini dedikasikan kemenangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan kontinjen negara di Incheon kerana menyokongnya. - AFP

Berita Harian X