Rabu, 7 Oktober 2015 | 12:00am
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra bersama penerima penerima pingat pahlawan negara sambil diperhatikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Majlis Penganugerahan pingat jasa pahlawan Negara di Klana Resort. - Foto Hazreen Mohamad

Berjuang sehingga titisan darah yang terakhir


TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bergambar bersama penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara selepas majlis penganugerahan kepada pesara polis sempena sambutan Hari Polis ke-208 tahun 2015 di Dewan Perdana Felda. - Foto Sairien Nafis

KECEKALAN bekas anggota polis yang bertugas ketika darurat dan awal kemerdekaan, amat menyentuh perasaan.

Walaupun nyawa menjadi pertaruhan, demi maruah agama, bangsa dan negara, setiap anak muda yang menyertai pasukan keselamatan ketika itu membuat pengorbanan besar untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat terjamin.

Peristiwa Bukit Kepong adalah antara contoh penting dalam sejarah negara betapa tingginya pengorbanan anggota polis dan ahli keluarga mereka dalam menghadapi ancaman komunis.

Mereka berjuang sehingga titisan darah yang terakhir. Bagi mereka "biar putih tulang, jangan putih mata". Selagi hayat masih ada, selagi itu perjuangan tetap diteruskan.

Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada bekas anggota yang bertugas ketika zaman darurat pertama bermula 1948 hingga 1960 dan darurat kedua dari 1964 hingga 1990 serta zaman darurat di Sarawak dari 1962 sehingga 1990 amat bertepatan dengan nilai pengorbanan yang diberikan mereka.


PENERIMA PJPN, bekas Sub Inspektor Ariffin Alang Ahmad.

Penerima PJPN, bekas Sub Inspektor Ariffin Alang Ahmad, 66, berkata pengurniaan pingat itu membuatkan hatinya sayu dan teringat kembali kenangan menjalankan tanggungjawab dalam operasi serta tugasan menjaga keselamatan serta ketenteraman masyarakat.

"Saya menyertai pasukan polis pada tahun 1974 dengan tugas pertama menganggotai VAT 69.

"Saya masih ingat pertembungan pertama dengan pengganas komunis pada tahun 1978 di Serendah, Selangor apabila pasukan saya terdiri daripada enam anggota diserang hendap.

"Ketika itu, kami dihujani peluru musuh, namun kami bernasib baik kerana tiada yang tercedera terkena muntahan peluru komunis.

"Dalam serangan itu, beberapa anggota komunis berjaya ditumpaskan," katanya ketika ditemui selepas menerima PJPN yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed di Dewan Perdana FELDA.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, walaupun sudah bersara sejak tahun 1995, semangat untuk mempertahankan kedaulatan negara masih utuh dan beliau sanggup memegang senjata untuk berjuang.

K Vamathevan, 80, bertugas sebagai polis pada tahun 1957 hingga 1969 dan sepanjang tempoh itu, pelbagai pengalaman ditempuh terutama menentang kekejaman pengganas komunis.

Katanya, setahun selepas negara merdeka, beliau bertugas di Balai Polis Jementah, Johor.


Oleh Helmi Talkah

"Saya pernah diserang sekumpulan komunis ketika meronda di kawasan estet di situ, namun nasib menyebelahi saya apabila rakan lain menyedari kehadiran komunis bertindak membalas serangan gerombolan terbabit sehingga mereka berundur.

"Saya meninggalkan perkhidmatan polis pada tahun 1970 sebelum menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR), yang kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Pegawai Penyiasat.

"Walaupun hanya 13 tahun berkhidmat dalam polis, pihak pimpinan PDRM sudi memberikan PJPN kepada saya. Saya amat terharu dengan penganugerahan ini sekali gus membuktikan penghargaan mereka kepada bekas anggota," katanya.

Berbeza bagi Indun Leman, 80, menjadi isteri anggota polis mengajarnya erti ketabahan dan sentiasa cekal apabila suaminya, Allahyarham Konstabel Khas Md Jaffar Abd Karim keluar bertugas.

"Suami pernah bertugas di Bahau, Negeri Sembilan dan Kepong, Kuala Lumpur. Ketika di Bahau, kami sekeluarga tinggal di kuarters polis dalam kawasan estet dan setiap kali terdengar bunyi tembakan, saya dan anak-anak akan berlari bersembunyi dalam kubu di bawah kuarters terbabit.

"Kehidupan ketika itu amat sukar dengan ancaman pengganas komunis, namun atas semangat perjuangan dan pengorbanan anggota polis, generasi hari ini dapat hidup dalam keadaan aman dan selamat," katanya selepas menerima PJPN bagi pihak suaminya yang meninggal dunia pada tahun 1998 akibat sakit tua.

 

Berita Harian X