Sabtu, 3 Oktober 2015 | 12:05am
NING mengambil masa yang lama untuk mengurangkan berat badannya. - Foto Nik Hariff Hassan
NING mengambil masa yang lama untuk mengurangkan berat badannya. - Foto Nik Hariff Hassan
NING kini lebih banyak menjayakan persembahan tertutup atau majlis korporat selain sibuk mengendalikan perniagaannya. - Foto Amirudin Sahib
NING kini lebih banyak menjayakan persembahan tertutup atau majlis korporat selain sibuk mengendalikan perniagaannya. - Foto Amirudin Sahib

Ning teruja muka makin runcing


MEMILIKI rangka tubuh besar dan berusaha untuk mengecilkannya bukan suatu usaha mudah. Ia takkan berubah sekelip mata. Namun dengan tekad, usaha dan sikap tak berputus, segala-gala yang diingini tak mustahil untuk direalisasikan.

Penyanyi dan ahli perniagaan, Ning Baizura membuktikan biar perlu mengambil masa lama untuk mengurangkan berat badan dan mengecilkan rangka tubuhnya, semuanya boleh jadi kenyataan.

Pelbagai cara diet dan senaman dilakukan penyanyi lagu Awan Terpilu itu. Namakan sahaja apa cara terkini, beliau antara individu yang tidak ketinggalan mencuba.

Ning mengakui, dia bergelut sebenarnya di peringkat permulaan.

Selepas melahirkan anak sulungnya, Ryan Sky Dalton sekitar dua tahun lalu, hanya baharu kini dia boleh tersenyum bangga kerana akhirnya dapat memiliki berat badan yang diingini.

"Macam-macam kaedah diet dan senaman saya lakukan. Daripada mengamalkan diet mengikut jenis darah sampailah kepada apa saja kaedah diet yang diperkenalkan. Pada masa yang sama, saya bersenam dan saya teruskan sampai sekarang.

NING mengamalkan pelbagai kaedah diet selain bersenam untuk mendapat berat badan ideal. - Foto Nik Hariff Hassan
NING mengamalkan pelbagai kaedah diet selain bersenam untuk mendapat berat badan ideal. - Foto Nik Hariff Hassan

"Dalam soal bersenam serta berdiet ini, kita kena faham badan kita. Dahulu, saya sendiri kurang pasti yang mana perlu jadi keutamaan.

Kena cukup diet, kena jaga pemakanan dengan betul atau bersenam banyak yang perlu didahulukan. Saya sendiri terkapai-kapai mencari satu jawapan pasti.

Tetapi Alhamdulillah, saya gembira dengan berat badan saya kini," katanya dalam pertemuan pada Program Larian Amal Wig-A-Thon Merah Jambu anjuran Yayasan Kesihatan (L) Reben Merah Jambu di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dalam tempoh enam bulan, Ning turun lima kilogram, daripada 65 kilogram kepada 60 kilogram. Biarpun baginya ia bukanlah jumlah penurunan yang besar tetapi Ning percaya dengan cara diet dan senaman yang betul, apa yang dihajati boleh dicapai.

"Muka saya paling nampak ketara runcing dan susut. Jadi pastikan anda banyak bersenam. Kita kena lakukan semua ini dengan penuh dedikasi. Dengan berpeluh, kita akan sentiasa sihat," katanya.

Sejak hampir setahun lalu juga, Ning mempraktikkan cara makan mengikut kiraan kalori. Untuk memudahkannya mengira kalori, Ning juga memuat turun aplikasi My Fitness Pal di telefon bimbit. Selain itu, Ning juga lebih mengutamakan penurunan lemak dalam badan (body fat) berbanding berat badan.

"Saya kena makan sebanyak 1,780 kalori dalam sehari. Penggunaan aplikasi My Fitness Pal itu banyak membantu saya memilih apa yang boleh dimakan dan sebaliknya. Saya bebas memakan nasi, roti canai dan apa sahaja berpandukan kiraan kalori ini. Makan buah dan sayur berlebihan juga kurang elok untuk diet kita.

"Dengan cara ini juga saya boleh memakan seperti biasa pada waktu pagi, tengah hari, malam, malah makanan ringan. Cuma apabila sudah makan, pastikan anda membakar kalori seperti biasa. Dengan saiz saya, saya perlu bakar dalam 600 ke 800 kalori sehari," katanya.

NING sentiasa bersenam untuk kekal sihat. - Foto Ghazali Kori
NING sentiasa bersenam untuk kekal sihat. - Foto Ghazali Kori

Pilates antara senaman yang menjadi pilihan Ning, selain berbasikal dan berjalan di taman sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

Suaminya, Omar Sharif Christopher Layton, antara individu penting yang memberikan dorongan serta semangat untuk beliau menguruskan badan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Malah, Omar Sharif sendiri aktif dalam sukan maraton. Ning berminat untuk turut serta tetapi masalah lutut membataskan hasratnya untuk berlari.

Mengenai kerjaya seni, Ning kini banyak menerima undangan persembahan tertutup atau memenuhi undangan daripada pihak korporat. Lebih 20 tahun membabitkan diri dalam dunia seni, Ning juga rancak meluaskan empayar syarikatnya, Happenings Malaysia Sdn Bhd.

Selain menganjurkan konsert untuk Ning dan beberapa siri persembahan membabitkan artis tempatan serta luar negara, syarikat milik Ning ini turut menganjurkan karnival.

"Syarikat saya memang banyak menganjurkan acara. Insya-Allah pada 4 hingga 6 Disember hadapan akan berlangsung festival kanak-kanak. Pada 25 Oktober ini juga saya akan terbabit dalam acara amal membabitkan senaman pilates untuk pertubuhan pesakit kanser payu dara di Dewan Tan Sri Hamzah, Royal Selangor Club, Bukit Kiara.

"Acara senaman itu akan bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Yuran masuk dikenakan sebanyak RM20 dan percuma kepada pesakit kanser. Sesiapa yang berminat, boleh layari facebook.com/pilatique," katanya.

Mengenai single terbaharu, Ning berkata, beliau hanya akan memutuskan perkara itu pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Tak ada masa sekarang ini selain tumpuan orang ramai kini lebih banyak pada masalah dalam negara, baik politik mahu pun jerebu. Nak keluar single ini bukan ikut suka hati. Silap percaturan, rugilah yang ditanggung," katanya.

NING ketika menjayakan persembahan khas Diva Malaysia Live Queen of The City 2015. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
NING ketika menjayakan persembahan khas Diva Malaysia Live Queen of The City 2015. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

INFO

  • Menerusi syarikat ditubuhkan, Happenings Malaysia Sdn Bhd, Ning meraih pelbagai anugerah, antaranya Country Branding Awards daripada The BrandLaureate, Global Branding Awards 2015 dan Global Asia Branding Awards 2015 kerana pembabitannya dalam dunia hiburan, fesyen dan perniagaan.
  • Ning mula mencipta nama menerusi album Dekat Padamu
  • Tarikh 31 Januari 2008 menjadi saksi penyatuan hati Ning dan suaminya.
Berita Harian X