Jumaat, 2 Oktober 2015 | 4:04pm

Mercedes-Benz perkenal model berprestasi tinggi AMG C63 S

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengukuhkan penawaran kereta berprestasi tinggi menerusi pengenalan model terbaharunya, Mercedes-AMG C 63 S.

Model V8 paling berkuasa dalam segmennya itu ditawarkan dengan dua varian iaitu C 63 S dan C 63 S Edition 1 yang masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insurans serta termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), RM698,888 dan RM723,888.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine, berkata pengenalan siri model berprestasi tinggi itu di pasaran Malaysia membuktikan industri automotif tempatan kekal kompetitif.

Katanya, MBM akan menawarkan lebih banyak model baharu berprestasi tinggi pada masa depan bersandarkan potensi pasaran domestik.

"Mercedes-AMG C 63 S adalah model yang dibangunkan untuk untuk prestasi. Namun kecekapan bahan api tiada tandingan iaitu 8.2 liter bagi setiap 100 kilometer (km), menjadikannya model lapan silinder paling ekonomik, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam segmen kereta berprestasi tinggi," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media ketika pelancaran model itu di Kuala Lumpur, semalam. Yang turut hadir, Duta Mercedes-Benz, Jean Alesi.

Mercedes-AMG C 63 S menggunakan enjin AMG 4.0-liter V8 biturbo empat injap setiap silinder, menjana 510bhp dan kilas 700Nm membolehkannya memecut dari pegun ke 100km sejam dalam masa empat saat.

Berita Harian X