Jumaat, 2 Oktober 2015 | 10:33am

Tidak rugi majikan melabur demi kebajikan pekerja

Ramai orang tidak sedar mengenai pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan sehingga kemalangan, kecederaan atau kematian berlaku. Ada juga orang yang yang tidak mahu melabur dalam keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana faktor kos.

Ada juga yang kurang berminat dalam isu-isu keselamatan dan kesihatan kerana mereka menganggap isu ini sebagai 'tidak menarik dan membosankan,' tidak seperti gangguan seksual atau HIV Aids.

Malah, ada sesetengah pihak media yang turut melihat isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai tidak menarik dan memberi keutamaan yang rendah untuk liputan akhbar.

Apabila kemalangan berlaku yang menyebabkan kecederaan atau maut, tragedi tersebut tidak pernah terlepas daripada liputan media.

Kempen keselamatan, kesihatan

Terdapat persepsi bahawa kemalangan terutama kemalangan maut, adalah 'bahan berita', tetapi kempen keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang biasa atau umum dilihat sebagai tidak menarik dan membosankan.

Sebenarnya, isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah terlalu penting untuk diabaikan. Jika diabaikan bererti menjemput bencana. Pelaburan di dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah satu langkah yang berbaloi dan penyebaran maklumat keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui media akan membantu mewujudkan kesedaran keselamatan yang lebih meluas dalam kalangan masyarakat dan mengelakkan kemalangan.

Media boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Kesannya boleh meningkatkan kesedaran pihak industri, majikan dan pekerja tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Ini akan dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan di tapak kerja.

NIOSH ingin menggesa semua industri supaya sentiasa peka terhadap permintaan terhadap keselamatan di tempat kerja dan berusaha untuk mencapai sasaran bebas kemalangan atau kemalangan sifar.

Bagi orang-orang yang berkenaan, mereka harus mengenalpasti risiko dan bahaya di persekitaran tempat kerja dalam industri masing-masing yang menjadikan mereka terdedah kepada kemalangan.

Adalah amat penting bagi semua orang untuk membabitkan diri dalam amalan dan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Tanggungjawab sosial

Pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah sangat diperlukan di semua persekitaran tempat kerja dalam semua industri untuk memastikan standard yang tinggi bagi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Pihak industri dan majikan perlu tahu bahawa empat faktor asas mewajarkan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan ia adalah tanggungjawab korporat, tanggungjawab sosial dan moral, gerak hati perniagaan yang baik dan kewajipan undang-undang.

Pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkesan bukan saja mengurangkan risiko kepada keselamatan dan kesihatan tetapi juga memastikan pulangan yang tinggi kepada syarikat serta peningkatan produktiviti.

Latihan dan pendidikan juga sebahagian daripada pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kerana ia menyumbang ke arah peningkatan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Majikan mesti bersedia untuk melabur dalam kesihatan dan keselamatan pekerjaan manakala pekerja pula mesti mengamalkannya di tempat kerja.

Syarikat perlu bajet bantu cegah kemalangan

Syarikat perlu memperuntukkan bajet tahunan untuk latihan keselamatan bagi membantu mencegah kemalangan yang berkaitan dengan pekerjaan.

Tidak perlu untuk dinyatakan di sini bahawa aset yang paling berharga bagi sesebuah organisasi adalah para pekerjanya dan mereka yang menyumbang kepada kejayaan organisasi tersebut.

Kebajikan sumber manusia harus diberi keutamaan yang tinggi oleh majikan dan menjadi prasyarat dalam membangun dan mengekalkan tenaga kerja yang cekap dan berkemahiran tinggi.

Di Malaysia, kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah meningkat sejak beberapa tahun ini. Semakin ramai majikan dan pekerja memahami peranan dan tanggungjawab mereka untuk memastikan bahaya di tempat kerja dikenal pasti, dinilai dan dikawal.

Tan Sri Lee Lam Thye Pengerusi NIOSH

Berita Harian X