Isnin, 28 September 2015 | 8:31pm
KETUA Pegawai Operasi, Hartanah dan Perkhidmatan DRB -HICOM, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain (kanan) bersama Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) memegang trofi EurAsia Cup pada sidang akhbar EurAsia Cup disampaikan oleh DRB-HICOM di Glenmarie Golf and Country Club, Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

2 legenda ketuai pasukan rebut Piala EurAsia 2016

PETALING JAYA: Legenda golf, Darren Clarke dan Jeev Milkha Singh masing-masing dipilih sebagai ketua pasukan Eropah dan Asia pada saingan Piala EurAsia yang akan berlangsung di Glenmarie Golf and Country Club di Subang dari 15 hingga 17 Janurai tahun depan.

Jeev, 44, yang memenangi Jelajah Asia Order of Merit 2006 dan 2008, berkata beliau teruja dipilih sebagai ketua pasukan Asia pada Piala EurAsia, dan percaya pemain Asia kini mampu bersaing dan memberi tentangan kepada pemain Eropah pada kejohanan berkenaan.

"Terdapat banyak pemain Asia bertaraf dunia. Kami mempunyai banyak pemain beraksi pada Piala Presiden tahun ini yang membuktikan betapa hebatnya pemain ini sekarang.

"Saya mahu mereka berfikiran positif bagi menaikkan semangat pasukan agar kita boleh memperoleh keputusan yang baik," kata Jeev dalam temuramah video pada sidang media Piala EurAsia 2016 di Glenmarie Golf and Country Club di Subang hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Profesional Golf Malaysia (PGM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Hartanah DRB-Hicom Berhad, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain.

DRB-HICOM Berhad sekali lagi menjadi rakan Piala EurAsia 2016.

Jeev, bekas pemain nombor satu Jelajah Asia telah memenangi 20 gelaran dunia termasuk empat Jelajah Eropah.

Sementara itu, Clarke, 47, dari Ireland, percaya pemilihannya sebagai ketua pasukan Piala EurAsia dapat memberikan pengalaman tidak ternilai kerana beliau akan berusaha untuk terus mencatat rekod cemerlang pemain Eropah pada Piala Ryder.

"Saya perlu melihat bagaimana pencapaian pasukan ini, beberapa pemain saya tahu, sangat bagus dan ada yang saya tidak tahu mengenai prestasi mereka.

"Mungkin ada peluang bagi saya melihat pemain berpotensi untuk digandingkan pada Piala Ryder dan ia sangat berguna kepada saya.

"...tetapi yang paling utama ialah kami mahu memenangi Piala EurAsia. Banyak pemain sudah bercakap dengan saya tentang hal itu dan tidak kira siapa mewakili pasukan Eropah...kami dahagakan kemenangan," kata Clarke.

Clarke menikmati kerjaya luar biasa yang menyaksikan beliau menjadi pemain pertama Eropah memenangi Kejohanan Golf Dunia dan beberapa gelaran pada Piala Ryder.

Format Piala EurAsia 2016 akan menyaksikan ketua pasukan memainkan peranan bukan sebagai pemain, dengan setiap pasukan diwakili 12 pemain iaitu penambahan dua pemain daripada edisi pertama.

Pasukan yang memenangi kejohanan itu akan berkongsi hadiah wang tunai US$3.6 juta (RM15,897,240), manakala naib juara membawa pulang US$1.2 juta (RM5,299,080).

Pasukan Asia dipilih dalam kalangan empat pemain terbaik Asia dalam Merit Jelajah Asia 2015 setakat 14 Disember, dan empat pemain yang layak berdasarkan Ranking Rasmi Golf Dunia sehingga 14 Disember, serta empat pemain dipilih oleh ketua pasukan.

Sementara pasukan Eropah dipilih dalam kalangan 10 pemain terbaik daripada ranking di saingan akhir Race to Dubai 2015 serta dua pemain yang dipilih oleh ketua pasukan.

- BERNAMA

Berita Harian X