Isnin, 28 September 2015 | 12:01am

Samsung, Oculus perkenal teknologi set kepala Gear VR


SET kepala Gear VR yang menampilkan teknologi terkini telefon pintar pada harga RM435. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Samsung dan syarikat teknologi realiti maya, Oculus menampilkan set kepala Gear VR yang membawa teknologi terkini telefon pintar pada harga kurang separuh daripada model terdahulu.

Pengenalan set kepala itu membolehkan teknologi realiti maya kini semakin hampir menjadi pasaran meluas, malah diperkenalkan semasa Facebook melancarkan sokongan video 360 darjah manakala perkhidmatan video dalam talian seperti Netflix dan Hulu turut menggunakan format sama.

Pengumuman yang dibuat pada persidangan pemaju teknologi realiti maya di Los Angeles hujung minggu lalu itu adalah cubaan terbaharu untuk mempromosikan set kepala sebagai satu platform melangkaui fungsi khusus untuk pemain video.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Inc, Mark Zuckerberg yang memeterai perjanjian untuk membeli Oculus pada harga AS$2 bilion tahun lalu berkata realiti maya adalah 'langkah logik seterusnya' bagi perkongsian dalam talian selepas teks, foto serta video.

"Dalam beberapa tahun lagi, Gear VR akan beralih daripada impian sains fiksyen menjadi realiti mengagumkan," katanya.

"Sekarang kita semua berpeluang untuk mengubah cara bermain, berkomunikasi dan bekerjasama."

Zuckerberg kemudiannya mempertontonkan promo bagi filem "Star Wars" akan datang yang menunjukkan kenderaan memecut di padang pasir planet fiksyen Jakku.

Pengguna Gear VR boleh memandang di semua sudut dari mana-mana arah menggunakan tetikus apabila video berkenaan dimainkan.

Samsung berkata, set kepala realiti maya itu adalah 22 peratus lebih ringan dan berharga AS$99 (RM435) lebih murah berbanding model terdahulu.

Gear VR, yang memerlukan pengguna memasukkan versi terbaharu telefon pintar Samsung ke dalam set kepala itu akan dipasarkan November ini.

Isi kandungan Netflix boleh didapati untuk ditonton dalam Oculus atau set kepada Samsung bermula Khamis lalu, manakala Hulu berkata ia juga akan membawakan aplikasinya ke dalam platform Oculus yang mana pengguna boleh melayari isi kandungan 2-D.

Pengguna juga boleh menonton filem pendek asli realiti maya bertajuk "The Big One", terbitan RocketJump, syarikat milik bintang YouTube, Freddie Wong.

Tarikh pelancaran Hulu belum diumumkan lagi.

Sementara itu, Oculus berkata ia akan memulakan program persijilan supaya pengguna boleh mencari pelekat yang akan mengenal pasti komputer mana boleh menyokong set kepada Oculus Rift.

Oculus Rift dijangka dikeluarkan seawal tahun depan.

Asus, Dell dan Alienware akan mempunyai model sokongan berkenaan yang berharga kurang daripada AS$1,000 (RM4,400). -AP

Berita Harian X