Isnin, 29 September 2014 | 12:14pm
GAYA lucu jurulatih Bayern Munich, Pep Guardiola ketika perlawanan Bundesliga Jerman menentang Cologne, minggu lalu. Bayern bertemu CSKA, awal pagi esok dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah. - Foto AFP

Liga Juara: CSKA hadapi Bayern dengan stadium kosong

MOSCOW: Bertemu juara Eropah lima kali, Bayern Munich di pentas Liga Juara-Juara Eropah harus menjadi agenda penting CSKA Moscow musim ini namun juara Russia itu terpaksa berdepan gergasi Jerman itu tanpa penonton, awal pagi Rabu.

CSKA diarah untuk beraksi dalam stadium kosong oleh badan induk bola sepak Eropah, UEFA dalam aksi Liga Juara Kumpulan E sebagai hukuman salah laku penyokong mereka ketika berdepan Viktoria Plzen, Disember tahun lalu.

Selepas tumbang besar 5-1 oleh AS Roma pada perlawanan awal, dua minggu lalu, CSKA kini berdepan misi sukar menentang jaguh elit Eropah Bayern lebih malang tanpa penyokong sendiri.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Khimki Arena, tahun lalu, Bayern mencatat kemenangan 3-1 di tahap sama.

Jurulatih CSKA, Leonid Slutsky kini hanya berharap pemainnya dapat meneruskan kecemerlangan dalam kempen domestik selepas mengharungi tujuh kemenangan dalam lapan perlawanan namun mengakui, bentengnya ketika ini agak rapuh.

"Pasukan ini tidak seimbang dan kami nampak amat lemah di bahagian pertahanan," kata Slutsky.

Menambah masalah buat CSKA, juara Russia 12 kali itu turut kehilangan penyerang berbisa, Seydou Doumbia yang berdepan kecederaan selain dua pemain tengah, Pontus Wernbloom dan Alan Dzagoev yang turut berdepan penggantungan dalam aksi Eropah.

Juara Bundesliga, Bayern yang menewaskan juara Inggeris, Manchester City 1-0 pada aksi pembuka tirai Liga Juara terus dianggap pilihan sekalipun turut kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan.

Bayern akan turun ke Moscow tanpa khidmat Holger Badstuber, pemain tengah, Bastian Schweinsteiger, Franck Ribery, Thiago Alcantara dan Javi Martinez.

Begitupun, rentetan tanpa kalah dalam kempen elit Jerman termasuk kemenangan 2-0 ke atas Cologne minggu lalu meningkatkan semangat Bayern sebelum membuat kunjungan ke Moscow. - Reuters

Berita Harian X