Ahad, 27 September 2015 | 5:11pm

Laluan basikal tarik pelancong beriadah di Putrajaya


PRESIDEN Perbadanan Putrajaya, Datuk Hasim Ismail (kanan) bersalam dan beramah mesra dengan peserta World Tourism Day (WTD) Fun Ride 2015 di Dataran Putra, Presint 1 Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) hari ini melancarkan sembilan laluan basikal bagi menarik lebih ramai pelancong melakukan aktiviti riadah di pusat pentadbiran kerajaan itu.

Presidennya, Datuk Hasim Ismail, berkata laluan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu mudah, sederhana dan mencabar yang melalui beberapa kawasan menarik di sekitar Putrajaya.

"Putrajaya bagi saya adalah syurga bagi penggemar aktiviti berbasikal. Sepanjang pengalaman saya selama dua bulan di sini (sejak dilantik Presiden PPj) banyak laluan basikal menarik yang boleh dilalui," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan laluan itu yang diadakan sempena World Tourism Day Fun Ride 2015 yang disertai kira-kira 400 peserta di Dataran Putra, di sini hari ini.

Katanya kategori mudah terbahagi kepada tiga laluan iaitu Sisiran Tasik sepanjang 12.1 kilometer (km), laluan Perdana (5km) dan laluan Marina (2.7km).

Bagi laluan mudah, pelancong dapat melihat mercu tanda unik Putrajaya seperti Jambatan Seri Wawasan, Monumen Alaf Baru, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Bangunan Perdana Putra, Istana Kehakiman, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Marina Putrajaya.

Laluan sederhana pula terdiri daripada Saujana Hijau (7.2km), Wetland (4km) dan Putra Perdana (800 meter).

Antara tarikan di kawasan laluan sederhana adalah Kelab Tasik Putrajaya, Seri Perdana, Moroccan Pavilion, Taman Botani dan Taman Putra Perdana manakala laluan mencabar terbahagi kepada Taman Rimba Alam (5km), Taman Cabaran (2.7km) dan Taman Wawasan (3.6km).

- BERNAMA

Berita Harian X